8 Jun 2024 (Sabtu)
Bekas pemain bola sepak kebangsaan Singapura, Haslir Ibrahim atau dikenali dengan nama Hasli Ibrahim meninggal dunia pagi semalam pada usia 73 tahun setelah menderita akibat radang paru-paru yang dihidapi selama dua tahun.
Berita kematian arwah itu dikongsi oleh anaknya, Lindar Haslir menerusi catatan di Facebook. "Dengan dukacita Abah kami Haslir Bin Ibrahim telah pulang ke Rahmatullah pagi Jumaat. Mohon maafkannya dan halalkan makan minumnya. Dengan tidak keberatan please (sila) sedekahkan Alfatihah untuk Abah kami."
Allahyarham Hasli dikenali sebagai pemain pertahanan Singapura yang kental menjaga bahagian pertahanan sekitar tahun 1970-an. Beliau pernah mewakili pasukan kebangsaan Singapura dalam kejohanan Piala Malaysia di mana beliau menjulang piala itu pada tahun 1977 dan 1980. Selain itu beliau juga pernah mewakili pasukan Melayu Singapura.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan juga berkongsi rasa sedih dengan pemergian Hasli, yang disifatkan sebagai seorang individu yang banyak memberikan sumbangan kepakarannya dari dalam dan luar padang. "Komitmen tidak berbelah bahagi yang ditonjolkan beliau dalam permainan yang diminatinya terserlah menerusi semangat kesukanan dan dedikasinya."
Jenazah telah disolatkan di Masjid Al Istighfar di Pasir Ris dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang. Beliau meninggalkan seorang isteri, enam orang anak dan 16 orang cucu.
Sumber
edit- (Inggeris) David Lee. " Former Lion and two-time Malaysia Cup winner Haslir Ibrahim dies at 73 " — The Straits Times, 8 Jun 2024
- (Inggeris) Anwar Saleh. "Sumbangan, komitmen Hasli Ibrahim kepada bola sepak negara dikenang" — BeritaHarian SG, 7 Jun 2024
- (Inggeris) Afiqah Hussain. "Bekas pemain bola sepak SG Haslir Ibrahim meninggal dunia pada usia 74 tahun" — Berita MediaCorp, 7 Jun 2024