Wn/ms/Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia muncul juara regu

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia muncul juara regu

23 Mei 2024 (Khamis)

Kuala Lumpur – Selepas tamatnya acara doubles seperti yang dilaporkan sebelum ini, pasukan Malaysia sekali lagi melakar kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, kali ini menerusi acara regu, juga menewaskan pasukan Thailand dalam perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Gambar hiasan.
Imej: B20180.

Pasukan regu Malaysia yang diwakili Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias (pemain gantian Haziq Hairul Nizam dan Shahalril Aiman Halim) memenangi set pertama dengan mata 15-8. Pada satu ketika, mereka menjarakkan jurang sebanyak tujuh mata ke atas pasukan Thailand yang diwakili Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan dan Varayut Jantarasena (pemain gantian Siriwat Sakha, Pichet Pansan). Memasuki set kedua pula, pasukan Malaysia menang dengan mata 15-12.

Kapten pasukan, Farhan Adam berkata ini merupakan kemenangan yang paling diingati sepanjang karier beliau. "Pertama sekali saya berasa syukur kerana menang di hadapan penyokong sendiri di sini. Ini merupakan momen terindah dalam karier saya," katanya lagi. "Sudah banyak kali kita menentang Thailand dalam perlawanan akhir namun kalah. Tapi hari ini kita membuktikan kita boleh menewaskan mereka."

Kemenangan ini merupakan kali pertama pasukan Malaysia menewaskan regu Thailand sejak kali terakhir mereka berbuat demikian dalam kejohanan Super Series Sepak Takraw 2015 jelajah Melaka.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini