15 Julai 2020 (Rabu)
Washington D.C - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa menandatangani perintah eksekutif untuk menamatkan status khas perdagangan Hong Kong dan juga menandatangani rang undang-undang sekatan terhadap sektor perbankan di pulau itu.
Beliau memberitahu, tindakan itu adalah sebagai tindak balas kepada keputusan China melaksanakan undang-undang keselamatan baharu ke atas tanah bekas jajahan British tersebut.
Dalam sidang media di Pumah Putih, beliau berkata, Hong Kong akan dilayan sama seperti China, tiada keistimewaan, tiada layanan ekonomi dan tiada eksport teknologi sensitif. Kebebasan mereka dirampas, hak mereka dirampas.
"Dengan ini juga Hong Kong akan 'hilang' kerana pada pendapat saya, ia tidak boleh lagi bersaing dalam pasaran bebas, ramai akan meninggalkan Hong Kong."
Trump berkata beliau juga sudah menandatangani Akta Autonomi Hong Kong, yang membenarkan sekatan terhadap pegawai China dan polis Hong Kong yang dilihat sebagai mencabuli autonomi bandar itu, terutama semua bank yang berurusan dengan mereka. Hal ini akan memaksa semua bank kecuali yang dimiliki China, memilih sama ada untuk menyokong tindakan yang dilakukan oleh China di Hong Kong atau mahu terus mengendalikan urus niaga dalam dolar AS untuk kekal berada dalam ekonomi terbesar dunia.
Sumber
edit- (Melayu) "Trump tamatkan keistimewaan perdagangan HK" — Berita Harian, 15 Julai 2020
- (Inggeris) "US President Donald Trump signs Hong Kong Autonomy Act, and ends the city’s preferential trade status" — South China Morning Post, 15 Julai 2020
- (Inggeris) "Trump ends Hong Kong preferential status, not interested in China trade talks" — The Star Malaysia, 15 Julai 2020