Wn/ms/Teleskop Euclid mengesan bintang-bintang tunggal di antara galaksi

< Wn | ms
Wn > ms > Teleskop Euclid mengesan bintang-bintang tunggal di antara galaksi

30 Mei 2024 (Khamis)

Teleskop angkasa milik Agensi Angkasa Eropah (ESA) yang dilancarkan tahun lepas, Euclid telah mencerap dan menerbitkan beberapa imej angkasa yang memaparkan sehingga 1.5 trilion bintang tunggal yang bergerak melalui kluster ribuan galaksi yang sangat besar, salah satu daripada struktur terbesar yang pernah dicerap dalam alam kosmos.

"Ini satu petunjuk akan apa yang Euclid boleh buat," kata Valeria Pettorino, saintis untuk Projek Euclid ESA. Imej yang dipaparkan itu menunjukkan cahaya bintang-bintang tunggal yang terkeluar daripada galaksinya sendiri memenuhi ruang-ruang di antara galaksi dalam kluster Perseus. Kawasan itu, juga dikenali sebagai "intrakluster" merupakan kawasan yang paling gelap sekali, malah ianya lebih gelap berbanding dengan waktu malam di Bumi.

Salah satu imej Euclid yang memaparkan cahaya intrakluster dalam kluster Abell 2390.
Imej: Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Dengan bantuan Euclid, saintis berharap dapat mengesan lokasi bintang tunggal itu serta dari mana kebanyakkan cahaya yang dipancar dari kawasan gelap itu berada. Teleskop itu pada mulanya direka bagi mencerap kawasan jirim gelap yang tidak mampu dikesan, namun ia berupaya mengesan cahaya yang dipancarkan dari kluster Perseus, di antara galaksi-galaksi.

"Kami amat terkejut dengan kemampuan kita yang mampu mencerap sejauh ini di luar kawasan kluster serta dapat membezakan warna cahaya walaupun ia halus," kata Nina Hatch, ketua pasukan dan saintis dari University of Nottingham menerusi kenyataannya. "Cahaya ini boleh membantu kami memetakan unsur jirim gelap jika kita memahami dari mana bintang intrakluster ini datang. Dengan mengkaji pola warnanya, kilauan dan tetapannya, kami mendapati ianya berasal dari galaksi kecil."

Salah satu imej Euclid yang memaparkan dua galaksi kerdil dalam kumpulan galaksi Dorado.
Imej: Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Bintang-bintang tunggal itu dikenalpasti melalui pola warna yang agak kebiruan-biruan dan susunan di dalam kluster. Berdasarkan ciri itu, ahli astronomi yang terlibat dalam kajian itu berpendapat bintang tunggal itu bergerak di antara galaksi oleh kerana ia telah ditendang keluar dari galaksi asal atau mengalami keadaan kacau-bilau semasa ianya berada di dalam galaksi kecil, atau kerdil.

Selepas ditendang keluar dari galaksi asal, bintang-bintang tunggal itu dijangka akan mengorbit galaksi terbesar yang berada di dalam kluster. Namun kajian mendedahkan satu dapatan yang menarik; bintang tunggal itu sebaliknya bergerak mengelilingi satu titik di antara dua galaksi yang paling bercahaya dalam kluster itu.

Dr Jesse Golden-Marx, ahli astronomi University of Nottingham yang terbabit dalam kajian berkata, "Berdasarkan pemerhatian ini, dapatan kajian merasakan kluster Perseus yang besar itu baru sahaja melakukan penggabungan dengan kumpulan galaksi yang lain. Penggabungan ini mungkin mencetuskan gangguan graviti yang menyebabkan sama ada galaksi terbesar atau bintang tunggal itu tersasar dari pengorbitan yang sepatutnya, membawa kepada jajaran yang tidak betul seperti yang kita perhatikan sekarang".


Sumber

edit


Kongsikan berita ini