Wn/ms/Singapura luluskan 16 jenis serangga sebagai selamat untuk dimakan

< Wn | ms
Wn > ms > Singapura luluskan 16 jenis serangga sebagai selamat untuk dimakan

8 Julai 2024 (Isnin)

SINGAPURA - 16 spesis serangga, termasuk cengkerik dan belalang telah diluluskan penggunaannya sebagai produk makanan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Agensi Pemakanan Singapura (SFA) hari ini.

Lebah madu Eropah atau Apis mellifera antara serangga yang boleh dimakan di Singapura.
Imej: Makro Freak.

Kelulusan itu termasuklah kebenaran mengimport, menjual, mengeluarkan, memproses serta menternak spesis serangga terpilih yang telah dinilai sebagai selamat untuk dimakan oleh manusia dan haiwan ternakan lain. Kelulusan itu berkuatkuasa serta-merta.

Dalam pada itu juga, SFA berkata mereka telah membangunkan kerangka berkaitan pengawalseliaan serangga yang memperincikan mengenai panduan termasuklah pengeluaran produk berasaskan serangga serta mengimport serangga dari ladang di luar negara. Kerangka itu bertujuan melindungi keselamatan pengguna dalam memakan makanan yang menggunakan serangga.

Beberapa rangkaian restoran di Singapura menyambut baik kelulusan itu, selain bakal memperkenalkan menu berasaskan serangga tidak lama lagi.

Rangkaian restoran House of Seafood menerusi kenyataan di Facebook berkata tiada kos tambahan dikenakan kepada pelanggan jika mereka memesan hidangan berasaskan serangga. "Kami akan menanggung kos perbelanjaan sebagai sokongan kepada inisiatif kerajaan dalam mempromosi serangga sebagai ganti kepada sumber protein."

Pengasas syarikat Insect Food, Javier Yip pula berkata mereka akan melancarkan jenama 'Insectyumz' iaitu rangkaian produk makanan segera berasaskan serangga tidak lama lagi.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini