22 Mei 2024 (Rabu)
Lagos - Lebih 40 penduduk terbunuh dalam serangan yang dibuat oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki motosikal di sebuah perkampungan komuniti perlombongan di bahagian tengah, utara Nigeria lewat malam tadi. Setakat ini tiada kumpulan tampil bertanggungjawab atas kejadian terbaru ini.
Penyerang melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk di perkampungan Zurak, membakar rumah-rumah kediaman serta menculik beberapa orang penduduk. Ramai penduduk berlari menyelamatkan diri dengan menyorok di semak-semak berdekatan, menurut Musa Ashoms, Pesuruhjaya Maklumat Negeri. "Kami masih lagi melakukan pencarian di kawasan sekitar bagi mencari mangsa yang maut atau mereka yang masih hidup dan perlukan rawatan," tambahnya lagi.
"Bila mereka memasuki perkampungan kami, mereka mula menembak tak tentu hala kepada sesiapa yang mereka nampak. Mereka membunuh lebih 40 orang tanpa belas kasihan. Saya berjaya melarikan diri ke kampung berdekatan. Hingga sekarang, saya masih lagi tak nampak kesemua ahli keluarga saya, " kata Babangida Aliyu, seorang penduduk yang lari. Menurut seorang lagi penduduk, Timothy Haruna, "mereka membunuh dan menculik ramai orang. Ramai juga yang cedera akibat ditembak. Mereka (penyerang) juga membakar kediaman kami."
Perkampungan Zurak berada dalam negeri Plateau, yang kerap menyaksikan rusuhan tercetus akibat pertikaian di antara kumpulan nomad dan kumpulan petani ladang. Pertikaian itu diburukkan lagi dengan isu perubahan iklim yang memberi kesan kepada perladangan, akses sumber air yang bersih serta sumber lain seperti bijih besi.
Sumber
edit- (Inggeris) " Gunmen kill some 40 people in attack in north-central Nigeria " — VOA, 21 Mei 2024
- (Inggeris) " At least 40 villagers shot dead in latest violence in Nigeria's conflict-hit north " — abc News, 22 Mei 2024
- (Inggeris) " Gunmen attack kills over 40 in central Nigerian village " — İlke Haber Ajansı, 21 Mei 2024
- (Inggeris) Ahmed Kingimi. " Gunmen kill 40 in north-central Nigeria attack " — Yahoo! News, 22 Mei 2024