16 Ogos 2024 (Jumaat)
BEIJING - Pintu sempadan Korea Utara bakal dibuka kembali untuk sektor pelancongan penghujung tahun ini, demikian menurut sumber dari agensi pelancongan berpangkalan di Beijing yang menguruskan pelancongan ke negara itu.
Koryo Tours mengumumkan berita demikian menerusi kenyataan di laman rasminya. Mereka menyebut sektor pelancongan di Korea Utara akan dibuka secara berperingkat bermula dengan kawasan Samjiyon dekat Gunung Paektu. "Kami sangat teruja untuk mengumumkan aktiviti pelancongan ke Samjiyon dan mungkin ke seluruh negara akan dibuka kembali pada Disember 2024," katanya. "Kami telah mendapat pengesahan daripada rakan setempat kami mengenai pembukaan itu."
Menerusi hantaran di Facebook berasingan, agensi pelancongan KTG Tours yang berpangkalan di Shenyang, China juga mengesahkan perkara itu. "Kami telah diberitahu bahawa pelancong akan dibenarkan melawat Samjiyon (sekitar Gunung Paektu) pada musim sejuk ini," katanya. Namun begitu, mereka masih lagi menunggu tarikh rasmi daripada kerajaan di sana.
Pengumuman itu datang selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengadakan lawatan ke Samjiyon pada Julai dan menekankan rancangan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan antarabangsa. Di sana, Korea Utara membangunkan kawasan pergunungan dengan pembinaan pangsapuri, hotel, resort ski dan kemudahan seperti pusat komersial, kebudayaan dan kesihatan.
Untuk rekod, Korea Utara merupakan negara pertama yang menutup pintu sempadan kepada warga asing dan pelancong semasa berlakunya pandemik COVID-19 pada awal 2020. Penerbangan antarabangsa pula beroperasi semula pada separuh kedua 2023 bagi membolehkan rakyat yang berada di luar negara untuk pulang ke tanah air.
Samjiyon merupakan kawasan tarikan pelancongan popular di Korea Utara semasa musim sejuk di mana terletaknya Gunung Paektu yang dikatakan tempat lahirnya pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il. Gunung Paektu juga dianggap sebagai tempat paling suci bagi warga Korea Utara dan Korea Selatan. Agensi Koryo Tours berkata bandar Samjiyon merupakan lokasi yang sukar untuk diakses selain tidak banyak kemudahan terdapat di situ, namun ia sudah menjalani pembangunan semula sebagai kawasan pelancongan.
Sumber
edit- (Inggeris) Kim Hyun-bin. " North Korea to resume foreign tourism in December: Beijing-based travel agency " — The Korea Times, 15 Ogos 2024
- (Inggeris) " North Korea Tourism Resumes" — Koryo Tours, 14 Ogos 2024
- (Inggeris) " North Korea set to reopen borders to foreign tourists in December " — Aljazeera, 14 Ogos 2024
- (Inggeris) Gawon Bae, Mike Valerio, Will Ripley. " North Korea will reopen to international tourism this winter, tour operators say " — CNN, 14 Ogos 2024