13 Jun 2024 (Khamis)
Bermula 1 Julai, penghantaran SMS rasmi dari mana-mana agensi kerajaan akan menggunakan identiti pengenalan "gov.sg" dan tidak menggunakan nombor tertentu. Ini bagi memudahkan rakyat mengenal pasti SMS yang diterima itu adalah dari sumber yang betul.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan, perubahan itu perlu dilakukan bagi melindungi orang ramai daripada kemungkinan penipuan penyamaran sebagai pihak kerajaan. "Dengan menyeragamkan kepada satu identiti pengirim 'gov.sg' untuk semua agensi kerajaan, rakyat boleh mengenal pasti sama ada mesej yang dihantar dari kerajaan adalah sahih atau palsu."
Walaupun begitu, terdapat beberapa nombor pengirim digunakan bagi tujuan kecemasan yang diberi pengecualian seperti 71999 bagi mereka dengan masalah pendengaran dan percakapan untuk membuat laporan polis atau POLICE 999 yang digunakan bagi tujuan kecemasan di mana polis akan mengakses kamera pada telefon bimbit bagi tujuan siaran langsung.
Bagi penduduk yang menggunakan nombor telefon bimbit yang tidak didaftarkan dengan mana-mana penyedia perkhidmatan telekomunikasi Singapura, identiti "gov.sg" mungkin tidak dipaparkan pada aplikasi permesejan mereka. "SMS mungkin akan diterima dari pengirim "gov.sg" atau identiti lain, bergantung kepada lokasi negara mereka itu," menurut soalan lazim mengenai perkhidmatan satu identiti itu.
"Anda mungkin akan menerima SMS dari gov.sg sama ada dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu atau Tamil. Bahasa yang digunakan dalam setiap SMS gov.sg bergantung kepada tetapan bahasa oleh pegawai agensi kerajaan berkenaan," tambahnya lagi.
Sumber
edit- (Melayu) Nur Fathin Awalludin. "SMS dari semua agensi pemerintah guna ID gov.sg mulai 1 Jul" — BeritaHarian SG, 13 Jun 2024
- (Inggeris) " What You Need to Know: gov.sg SMS Sender ID " — Gov.sg, 13 Jun 2024
- (Inggeris) Zhaki Abdullah. " Government SMSes will show ‘gov.sg’ as the sender ID from July 1 " — The Straits Times, 13 Jun 2024
- (Inggeris) Natasha Ganesan. " Government SMSes will come from single gov.sg sender ID to guard against scams " — CNA, 13 Julai 2024