12 Ogos 2024 (Isnin)
BANDAR SERI BEGAWAN - Pejabat kedutaan Vietnam di sini melancarkan reruai pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dalam mempromosikan industri pelancongan di Vietnam selain memperkenalkan kebudayaan, suasana dan masyarakat kepada rakyat Brunei dan pelancong luar di sekitarnya.
Reruai pelancongan Vietnam itu merupakan reruai pertama yang dibuka oleh diplomat asing di tempat awam. Ia akan menayangkan sejumlah video yang menyerlahkan negara dan masyarakat Vietnam, termasuklah menonjolkan beberapa tempat tarikan pelancongan popular seperti Da Nang, Nha Trang dan Ninh Thuan.
Duta Vietnam ke Brunei, Tran Anh Vu berkata pertukaran pelawat merupakan salah satu daripada keutamaan yang diberi menerusi jalinan kerjasama komprehensif Vietnam-Brunei untuk tempoh 2023-2027. Ujarnya, seramai 300 warga Vietnam tinggal di Brunei dan mereka telah memberi sumbangan terbaik ke arah kemajuan ekonomi setempat, selain mengeratkan lagi persahabatan yang terjalin di peringkat serantau.
Lokasi reruai yang strategik dengan akses umum diharap dapat menarik perhatian pengunjung yang berada di situ. Menurut Vu, wilayah Ninh Thuan memiliki banyak persamaan dengan Brunei oleh kerana ia didiami komuniti Islam dan maklumat mengenainya akan dipersembahkan di reruai itu.
Ketua Pengarah Eksekutif Royal Brunei Airlines, Sabirin Abdul Hamid berkata reruai pelancongan Vietnam itu adalah hasil usaha kukuh menerusi kerjasama itu, khususnya di antara Kedutaan Vietnam dan Royal Brunei Airlines. Tambahnya, kekerapan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu dari Brunei ke Ho Chi Minh tidak mencerminkan keupayaan sebenar jalinan kerjasama di antara dua buah negara itu.
Sabirin berharap dengan maklumat yang disampaikan dari reruai itu mampu menyemarakkan lagi potensi sebenar hubungan kedua-dua negara.
Sumber
edit- (Inggeris) " Vietnamese tourism space launched in Brunei " — The Voice of Vietnam, 12 Ogos 2024
- (Inggeris) " Vietnamese tourism space launched in Brunei " — Viet Nam News, 12 Ogos 2024
- (Inggeris) " Vietnamese tourism space launched in Brunei " — Nhan Dan, 12 Ogos 2024