2 Ogos 2024 (Jumaat)
NEW DELHI - Seramai dua puluh lima rakyat India, termasuklah bekas hakim, aktivis dan pakar ekonomi meminta Menteri Pertahanan Rajnath Singh untuk segera membatalkan lesen pengeksportan bekalan senjata dan peluru kepada Israel. Permintaan itu diutuskan menerusi sepucuk surat yang dihantar bertarikh 30 Julai.
Kumpulan itu percaya kebenaran membekal bahan terbabit melanggar komitmen India di bawah undang-undang antarabangsa dan mandat Perlembagaan. "Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) secara jelas memutuskan Israel telah melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid seterusnya menduduki secara haram di wilayah Palestin," menurut surat itu.
Surat itu juga menyatakan beberapa syarikat India telah bekerjasama dengan pengeluar ketenteraan Israel dalam pembuatan komponen yang diperlukan. Syarikat yang terlibat ialah Munitions India Ltd. (MIL), Premier Explosives Ltd. (PEL) dan Adani-Elbit Advanced Systems India Ltd.
"Kami menulis surat kepada anda sebagai rakyat yang prihatin, bimbang dengan pemberian berterusan lesen eksport dan kebenaran kepada pelbagai syarikat India, dalam membekalkan bekalan senjata dan peluru kepada Israel sejak perang terhadap Gaza bermula," kata kumpulan itu dalam suratnya. Surat itu diutuskan kepada Singh di pejabat Kementerian Pertahanan.
"Oleh itu, kami menuntut agar India segera menghentikan kerjasamanya dalam penghantaran bahan ketenteraan kepada Israel. India juga perlu berusaha memastikan senjata yang telah dihantar ke sana tidak menyumbang kepada tindakan pembunuhan beramai-ramai atau melanggar undang-undang kemanusiaan di peringkat antarabangsa."
Sumber
edit- (Inggeris) Krishna Kripa. " Activists Urge Indian Government to Revoke Licenses for Military Supplies to Israel " — oneindia, 2 Ogos 2024
- (Inggeris) " Rajnath urged to stop export of arms and ammunition to Israel w " — The Hindu, 2 Ogos 2024
- (Inggeris) " India urged to halt arms exports to Israel " — The Sun, 1 Ogos 2024
- (Inggeris) " Eminent Citizens Urge Defence Minister to Halt Licences to Firms Exporting Arms to Israel " — The Wire, 31 Julai 2024