Wn/ms/Qantas gantung laluan terus Perth-London susulan ketegangan konflik di Timur Tengah

< Wn | ms
Wn > ms > Qantas gantung laluan terus Perth-London susulan ketegangan konflik di Timur Tengah

10 Ogos 2024 (Sabtu)

PERTH - Susulan kebimbangan perang antara negara mungkin tercetus di Timur Tengah, pengendali penerbangan Qantas mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung laluan penerbangan terus dari Perth ke London.

Penerbangan terus Perth-London menggunakan kod QF9
Imej: Bahnfrend.

Qantas berkata penerbangan yang sebelum itu mengambil masa 17 jam kini akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura untuk mengisi bahan api tambahan sebelum ia meneruskan perjalanan ke London menggunakan laluan alternatif. Namun begitu, laluan dari London ke Perth tidak terjejas dan menggunakan laluan biasa.

"Kami sedang membuat pelarasan pada beberapa penerbangan kami berikutan situasi terkini di sebahagian kawasan di Timur Tengah sebagai langkah berjaga-jaga," kata jurucakap Qantas menerusi kenyataan. "Kami akan berhubung dengan pelanggan terlibat jika terdapat perubahan dalam tempahan mereka."

Beberapa pengendali penerbangan lain turut mengeluarkan amaran mereka berhubung situasi yang semakin genting di negara-negara Timur Tengah, selepas tindakan Israel membunuh komander Hizbullah, Fuad Shukr serta dikaitkan dengan pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismael Haniyeh di mana Iran berikrar akan membalas dendam.

Industri penerbangan masih lagi terkesan dengan peristiwa pesawat milik Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal sedekad lalu. Pada ketika itu, konflik sedang berlaku di antara puak pemisah pro-Rusia dengan tentera Ukraine.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini