24 Mei 2024 (Jumaat)
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata tentera Perancis akan berada di New Caledonia "selama mana mungkin", selepas lebih seminggu tercetusnya rusuhan di sana yang berpunca daripada langkah kerajaan Perancis mengubah peraturan berkaitan hak pengundian di negara Kepulauan Pasifik itu. Sejumlah 3,000 tentera telah dikerahkan sejak rusuhan tercetus dan berkemungkinan akan berada di sana sehingga Sukan Olimpik di Paris.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa La Tontouta bersama delegasi 3 orang menteri pada Khamis. "Hasrat saya, bersama para menteri saya dan kerajaan, adalah bersama-sama rakyat dan mengembalikan keamanan, keselesaan dan keselamatan secepat mungkin," kata Macron sejurus tiba di sana. Beliau kemudian menaiki helikopter melintasi beberapa kawasan rusuhan, dengan jentera-jentera sedang membersihkan kawasan itu.
Macron kemudian tiba di Kedutaan Besar Perancis di Noumea dan mengadakan pertemuan bersama Louis Mapou, Presiden bagi Kerajaan New Caledonia dan juga seorang pro-kebebasan dan Roch Wamytan, Presiden Kongres.
Sementara itu, ramai orang berkumpul di tepi jalan sambil mengibarkan bendera New Caledonia apabila Macron melalui jalan itu untuk ke Noumea. "Saya tak tahu kenapa nasib kita perlu dibincangkan oleh orang yang tak pernah tinggal di sini," kata Mike, penduduk Kanak berumur 52 tahun yang sedang menunggu ketibaan presiden itu.
Orang Kanak membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk di New Caledonia seramai lebih 300,000 orang.
Pada tahun 1998, Perancis bersetuju untuk menyerahkan kuasa politik kepada wilayah itu serta mengehadkan hak pengundian bagi pilihanraya di peringkat tempatan dan wilayah hanya kepada penduduk pulau sahaja pada ketika itu. Kira-kira 40,000 warganegara Perancis telah berpindah ke New Caledonia sejak 1998 dan perubahan kepada undang-undang daftar pemilih membolehkan mereka yang tinggal di kepulauan itu selepas 10 tahun berhak untuk memilih calon pilihanraya di sana.
Sumber
edit- (Inggeris) Catherine Porter. " With Troubles at Home, Macron Pops Up 10,000 Miles Away " — New York Times, 22 Mei 2024
- (Inggeris) Mathurin Derel. " Macron says troops will remain for as long as necessary as he arrives in New Caledonia " — The Guardian, 23 Mei 2024
- (Inggeris) " Macron says French troops will stay in New Caledonia ‘as long as necessary’ " — Aljazeera, 23 Mei 2024
- (Inggeris) " France's Macron holds talks in riot-hit New Caledonia " — DW, 23 Mei 2024