Wn/ms/Permohonan kewarganegaraan Indonesia meningkat tiga kali ganda pada 2024

< Wn | ms
Wn > ms > Permohonan kewarganegaraan Indonesia meningkat tiga kali ganda pada 2024

19 Jun 2024 (Rabu)

BALI - Sehingga 199 orang remaja dari keluarga yang memiliki dua kenegaraan memilih untuk menjadi warganegara Indonesia, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Wilayah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Kemenkumham). Ia mencatatkan peningkatan berbanding jumlah permohonan pada tahun sebelumnya.

Sejumlah 199 permohonan menjadi warganegara Indonesia, berbanding 67 pada 2023.
Imej: Arifedisant.

Pengarahnya, Pramela Yunidar Pasaribu berkata sejumlah 67 permohonan diterima pada 2023, manakala hanya dua permohonan yang direkodkan pada 2022. Daripada 199 permohonan yang diterima di antara Januari hingga Jun 2024 sahaja, 181 pemohon telah menduduki ujian kewarganegaraan dan 18 lagi sedang menunggu untuk menduduki ujian tersebut.

Antara topik yang ditanya dalam ujian itu termasuklah tahap pengetahuan mengenai hal ehwal semasa dalam negara serta memberi alasan kenapa mereka ingin menjadi sebahagian daripada warganegara Indonesia. Ujian itu dikendalikan pejabat kementerian di Bali yang terdiri daripada agensi kerajaan seperti Bahagian Perkhidmatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Bahagian Imigresen, Polis Bali dan Pejabat Wilayah Direktorat Agung Pajak Bali.

"Kami ingin memastikan setiap permohonan itu memiliki komitmen yang kuat untuk menjadi sebahagian daripada negara Indonesia," kata Pasaribu. Ujarnya, terdapat permohonan yang datang dari kalangan mereka yang memiliki dua kenegaraan dari Belanda, Ireland, Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat. Pemohon yang diterima akan melalui upacara kewarganegaraan di mana mereka akan mengangkat sumpah taat setia kepada Indonesia.

Remaja yang telah memasuki umur 18 tahun dan memiliki dua kenegaraan dibenarkan membuat permohonan menjadi warganegara Indonesia di bawah Artikel 3A Peraturan Pemerintah No. 21 Tahun 2022 tentang Kewarganegaraan. Artikel 67A pula menyatakan bahawa permohonan kewarganegaraan perlu dihantar tidak lebih dari dua tahun selepas ia dikuatkuasakan pada Mei 2022.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini