24 Mei 2024 (Jumaat)
Perbandaran Padang Lumba Kuda Bukit Timah bakal menyaksikan pembinaan kompleks perumahan awam pertama sejak 40 tahun, selain membangunkan 15,000 hingga 20,000 perumahan baru di atas tanah berkeluasan 176 hektar itu, demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee di Pusat Pembangunan Semula Bandar (URA) semasa melancarkan pameran konsep perbandaran baru itu.
Menurut Lee, pembangunan hartanah baharu itu akan berciri "inklusif dan mudah diakses" bagi penduduk awam dan persendirian. Selain itu, penambahan projek perumahan awam di Bukit Timah akan memenuhi "kehendak aspirasi yang semakin meningkat dari kalangan rakyat Singapura untuk tinggal berdekatan dengan tempat kerja", tambahnya lagi.
Sebanyak 27 buah bangunan dan struktur warisan sedang dikaji sama ada dikekalkan atau diguna semula, seperti bangunan podium utama di bahagian utara. Siap dibina pada tahun 1980-an, bangunan ikonik itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan stadium padang lumba yang pernah menjadi antara lokasi utama bagi para peminat lumba kuda sekitar tahun 1933 hingga 1939, sebelum dipindahkan ke Kranji bagi melancarkan laluan trafik di situ.
Berdasarkan kepada pelan konsep URA, terdapat empat seksyen kejiranan bakal dibangunkan di situ, di mana setiap satunya menawarkan identiti unik yang tersendiri hasil daripada gabungan di antara landskap sedia ada serta bangunan dan struktur warisan yang telah dipulihara, selain mewujudkan kesepaduan di antara komuniti. Lee kemudian mengajak umum untuk mencadangkan nama bagi setiap seksyen kejiranan itu.
Sumber
edit- (Melayu) "Sehingga 20,000 rumah awam, privet dirancang dibina di Turf City" — Berita Harian Singapura, 23 Mei 2024
- (Inggeris) Ng Keng Gene. "Up to 20,000 homes planned for Turf City, including first Bukit Timah HDB flats in almost 40 years " — The Straits Times, 24 Mei 2024
- (Inggeris) " Up to 20,000 new homes to be built in Bukit Timah Turf City " — EdgeProp Singapore, 23 Mei 2024
- (Inggeris) Ang Hwee Min. " Turf City site in Bukit Timah to have up to 20,000 homes, with heritage structures kept as part of new housing estate " — CNA, 24 Mei 2024