Wn/ms/Pengeluar tempat duduk terkemuka dari Jerman, Recaro fail notis kebankrapan

< Wn | ms
Wn > ms > Pengeluar tempat duduk terkemuka dari Jerman, Recaro fail notis kebankrapan

31 Julai 2024 (Rabu)

Pengeluar tempat duduk automotif terkemuka, Recaro Automotive telah memfailkan kebankrapan, menurut laporan dari media tempatan. Pemfailan itu dibuat di mahkamah seksyen di Esslingen, berdekatan dengan ibu pejabat syarikat itu.

Recaro terkenal sebagai pengeluar tempat duduk kereta inovatif di seluruh dunia.
Imej: Tokumeigakarinoaoshima.

Mahkamah juga meluluskan permohonan syarikat untuk meneruskan operasi dan mengekalkan pengurusan sedia ada sementara proses di mahkamah berlangsung. Peguam dari Stuttgart, Holger Blümle dilantik sebagai pegawai pentadbiran bertujuan untuk menilai situasi kewangan syarikat serta memantau aktiviti pengurusan.

Media tempatan melaporkan rata-rata pekerja syarikat tidak mengetahui mengenai pemfailan itu sehingga ia dilaporkan di media. Untuk beberapa tahun lalu, tenaga kerja syarikat berusaha memastikan syarikat itu kekal stabil dari segi kewangan melalui pemotongan dan penangguhan bayaran gaji.

Kesatuan sekerja Recaro, IG Metall berkata nasib sekurang-kurangnya 215 orang pekerja yang bekerja di kilang dekat Stuttgart kini berada dalam keadaan samar berikutan pemfailan itu. "Kami dan semua tenaga kerja tidak diberitahu mengenai tindakan itu dan hanya mengetahuinya melalui intranet," kata ketua IG Metall, Alessandro Lieb memetik dari laporan media tempatan, Süddeutsche Zeitung.

Untuk rekod, syarikat Recaro Automotive GmbH ditubuhkan pada 1906 dengan nama Reuterr Carosserie. Pada mulanya ia membekalkan komponen badan kereta kepada beberapa pengeluar automotif seperti Porsche dan Volkswagen, sebelum bertukar kepada pengeluaran tempat duduk automotif pada tahun 1960-an dan kemudian nama syarikat bertukar kepada Recaro pada tahun 1963.

Sementara itu, Recaro Group, syarikat yang mengeluarkan dan melesenkan produk selain automotif seperti tempat duduk keselamatan kanak-kanak, tempat duduk untuk kegunaan stadium dan jet pejuang tidak terjejas dengan pemfailan itu.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini