Wn/ms/Pempengaruh Youtube dari Australia cetus kontroversi catat rekod berjaga paling lama

< Wn | ms
Wn > ms > Pempengaruh Youtube dari Australia cetus kontroversi catat rekod berjaga paling lama

13 Ogos 2024 (Selasa)

Seorang pemuda dari Australia baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila dia cuba mengatasi rekod dunia dalam kekal berjaga untuk masa paling lama. Aksi itu ditayangkan secara langsung dari beberapa laman sosial video.

Pempengaruh Youtube, Norme pada mulanya menyiarkan aktiviti seharian yang dilakukannya secara langsung menerusi Youtube dalam usaha memecah rekod Guinness World Records. Selepas lebih 250 jam bersiar dari sana, Youtube bertindak menurunkan kesemua kandungan berkaitan di laman Norme atas alasan "melanggar panduan komuniti".

Ramai peminat berpendapat dia tidak sepatutnya mencuba melakukan cabaran itu kerana ia boleh menggugat kesihatan dirinya. Pun begitu, Norme yang berazam untuk memecahkan rekod 265 jam tanpa tidur kembali melakukan pengstriman langsung di laman sosial video Kick. Belum cukup sejam pengstriman itu berlangsung, pengendali Kick pula melarangnya menyiarkan cabaran tersebut.

Selain berdepan larangan, dia kerap menerima kehadiran ambulans dan polis yang datang untuk bertanyakan status kesihatan yang disifatkan Norme sebagai "pengacau". Dia juga mendapat sokongan dari abangnya, Don yang menggunakan pelbagai pendekatan bagi memastikan dia kekal berjaga pada setiap masa.

Setelah melakukan pengstriman semula di laman Rumble, dia berjaya merekodkan masa selama 264 jam (11 hari) tanpa tidur.

Untuk rekod, pihak Guinness World Records berhenti mengiktiraf rekod masa paling lama seseorang berjaga kerana cabaran itu memberi kesan buruk terhadap kesihatan manusia akibat kurang mendapat waktu tidur yang secukupnya. Pada awalnya rekod itu dipegang Randy Gardner yang merekodkan 264 jam tanpa tidur pada 1964 yang kemudian dipecahkan oleh Robert McDonald dengan catatan 453 jam 40 minit.

Menurut Norme, dia cuba mengatasi rekod asal kerana rekod itu dibuat tanpa bantuan bahan pemangkin. "Saya mengejar rekod yang dicipta tanpa bahan rangsangan," kata Norme menerusi hantaran di laman sosial X. "Lelaki itu (Robert McDonald) menggunakan kafeina dan ubat-ubatan membolehkannya kekal berjaga berbulan-bulan lamanya."

Semakan di portal MyHealth KKM mendapati, masalah kurang tidur dikenali juga sebagai gangguan tidur boleh mengganggu gaya hidup seharian termasuklah sukar mengawal emosi dan cepat marah, letih di siang hari dan berisiko terlibat dalam kemalangan ketika mengendalikan kenderaan.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini