11 Ogos 2024 (Ahad)
PARIS - Hasrat Datuk Azizulhasni Awang untuk cuba meraih pingat emas pertama buat dirinya dan Malaysia terkubur akibat dikenakan status Disqualified, membawa kepada penyingkiran daripada acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ia selepas beliau didapati memotong pacer terlalu awal sebelum keluar sepenuhnya dari trek, menyebabkan perlumbaan di heat pertama itu terpaksa diadakan semula dan penyertaannya dibatalkan juri. Pasukan Malaysia difahamkan telah berbincang dengan juri, namun keputusan penyingkiran beliau dari acara itu adalah muktamad termasuklah tidak dibenarkan berlumba di pusingan repechage.
Terdahulu, Azizulhasni diundi di heat pertama dalam pusingan kelayakan menentang Jaïr Tjon En Fa dari Suriname, Matthew Glaetzer dari Australia, Kaiya Ota dari Jepun, Jeffrey Hoogland dari Belanda serta Rayan Helal dari negara tuan rumah, Perancis. Beliau memulakan saingan di tempat terakhir sebelum mula memecut meninggalkan beberapa pelumba.
Namun begitu, pecutannya menyebabkan dia berada di hadapan pacer yang pada ketika itu sedang menuju keluar dari trek. Akibat daripada itu, perlumbaan heat tersebut terpaksa dibatalkan dan diadakan semula tanpa kelibat beliau yang dikenakan status Disqualified.
Jurulatih John Beasley berkata mereka akur dengan keputusan itu kerana ia sudah termaktub dalam peraturan acara keirin. "Peraturannya sangat jelas, kita tidak boleh melepasi roda depan motosikal (pacer) semasa ia masih lagi berada di atas trek," katanya kepada wartawan Astro Arena yang membuat liputan di lokasi. "Jelas sekali kita sudah berada lebih dari satu kaki di depan, jadi saya tidak mempunyai asas untuk mencabar keputusan itu."
Meskipun begitu, dia akui pacer tersebut agak lambat untuk keluar dari trek itu. "Motosikal itu bergerak lebih perlahan, ia sepatutnya keluar lebih awal. Kami sudah menjangkakan masa diperlukan (untuk mula memecut), namun kita tidak boleh melepasi motosikal dan kita melepasinya."
Menurut Beasley lagi, dia dan Azizulhasni nyata terkejut dengan perkara itu. "Dia (Azizulhasni) hanya diam sahaja, masih terkejut. Saya fikir dia pun agak terkejut seperti kita semua. Tetapi diakhirnya, ini hanyalah salah satu daripada saat buruk dalam kariernya dan saya akan sentiasa berada disana untuknya."
Sumber
edit- (Melayu) Muzaffar Musa. "Terkini Paris 2024: Azizulhasni hanya senyap, dia masih terkejut -- John Beasley" — Stadium Astro, 11 Ogos 2024
- (Melayu) Firdaus Hashim. "Azizulhasni enggan bercakap dan kecewa- Beasley" — Harian Metro, 11 Ogos 2024
- (Melayu) Muzaffar Musa. "Terkini Paris 2024: Azizulhasni sah tersingkir" — Stadium Astro, 11 Ogos 2024