Wn/ms/Pasar Filipina di Sabah kini bertukar nama kepada "Anjung Kinabalu"

< Wn | ms
Wn > ms > Pasar Filipina di Sabah kini bertukar nama kepada "Anjung Kinabalu"

8 Jun 2024 (Sabtu)

KOTA KINABALU - Kompleks Pasar Kota Kinabalu atau lebih dikenali sebagai "Pasar Filipina" dari kalangan penduduk tempatan dan pelancong dijenamakan semula sebagai "Anjung Kinabalu" pada Jumaat dan menjadi lokasi perintis kempen Harum Kinabalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, penjenamaan kompleks itu juga meliputi penukaran nama blok-blok bangunan pasar hasil inspirasi daripada produk yang dipasarkan di blok tersebut. "Antaranya D'Walai Suri (pasar malam), D'Walai Mutiara (pasar kraftangan), D'Walai Cincin (pasar sinsuran), D'Walai Haruman (pasar buah) dan D'Walai Matabiru (pasar ikan masin)."

Kempen Harum Kinabalu pula bertujuan untuk mewujudkan persekitaran bersih, ceria dan selamat, selain meningkatkan kesedaran dari kalangan masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan. Pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti Zon Pasar Terbersih dan Penggredan Zon Pasar telah disusun sepanjang kempen itu yang berlangsung selama sebulan bermula semalam.

Penjenamaan nama "Anjung Kinabalu" itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Safar bin Untong semasa merasmikan kempen itu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin bin Samitah berkata penjenamaan itu akan membolehkan pengunjung dan pelancong dapat mengenali kawasan itu selain mewujudkan satu identiti yang mewakili Sabah. "Ini memudahkan pelancong apabila mereka datang ke Kota Kinabalu apabila menyebut 'Anjung Kinabalu', orang sudah tahu di mana."

"Kita tidak mahu memperkenalkan satu nama yang tidak memiliki identiti negeri Sabah," tambahnya lagi.

Sumber

edit


Kongsikan berita ini