Wn/ms/PM Jepun, Fumio Kishida batal lawatan ke Asia Tengah susulan amaran 'gempa bumi mega'

< Wn | ms
Wn > ms > PM Jepun, Fumio Kishida batal lawatan ke Asia Tengah susulan amaran 'gempa bumi mega'

9 Ogos 2024 (Jumaat)

TOKYO - Perdana Menteri, Fumio Kishida mengesahkan beliau akan berada di Jepun serta membatalkan rangka lawatan ke Asia Tengah hujung minggu ini, susulan kebimbangan risiko gempa bumi mega yang akan berlaku bila-bila masa sahaja di luar pesisiran pantai Pasifik negara.

Kishida sepatutnya berlepas ke Astana, ibu negara Kazakhstan pada Jumaat bagi menghadiri persidangan bersama pemimpin dari Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan. Selepas itu, beliau akan ke Ulan Bator pada Isnin untuk bertemu Presiden Mongolia, Ukhnaa Khurelsukh dan Perdana Menteri, Luvsannamsrai Oyun-Erdene.

"Sebagai pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dalam pengurusan krisis negara, saya harus tinggal di Jepun sekurang-kurangnya seminggu sebagai langkah berjaga-jaga," katanya menerusi sidang media. Namun begitu, beliau mungkin menghadiri persidangan secara dalam talian.

Pada Khamis, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah mengeluarkan amaran gempa bumi mega pertama di bawah sistem baharu yang dibangunkan susulan gempa bumi bermagnitud 9.0 yang berlaku pada 2011, mengorbankan puluhan ribu mangsa. Di bawah protokol Informasi Tambahan Gempa Bumi Nankai Trough, JMA menjangkakan risiko gempa bumi besar yang tercetus di sepanjang Nankai Trough adalah lebih tinggi berbanding biasa, namun ia bukanlah petunjuk gempa bumi itu akan berlaku dalam tempoh masa tertentu.

Selepas pengumuman pembatalan lawatan kerjanya, Kishida kemudian mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev secara berasingan bagi menjelaskan ketidakhadiran beliau dan berjanji akan mengadakan lawatan di kemudian hari.

Menurut media Uzbekistan, Gazeta.uz, bendera Jepun telah dinaikkan di beberapa jalan sekitar Tashkent bagi menyambut ketibaan delegasi Jepun yang diketuai Kishida, yang kini sedang diturunkan.


Sumber

edit