Wn/ms/Nusantara dan Jakarta lokasi sambutan Hari Kemerdekaan ke-79 Indonesia

< Wn | ms
Wn > ms > Nusantara dan Jakarta lokasi sambutan Hari Kemerdekaan ke-79 Indonesia

13 Jun 2024 (Khamis)

Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-79 Indonesia bakal diadakan di dua lokasi serentak iaitu di ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara dan di Istana Presiden di Jakarta, demikian menurut Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy.

Jokowi semasa ritual "kendi Nusantara" pada 2022.
Imej: Government of Indonesia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo bersama penggantinya, Prabowo Subianto akan memimpin sambutan Hari Kemerdekaan di kota Nusantara yang terletak di Kalimantan Timur pada Ogos. Sambutan di Jakarta pula akan dipimpin oleh Naib Presiden Ma'ruf Amin bersama penggantinya Gibran Rakabuming Raka.

Di samping sambutan Hari Kemerdekaan di kota Nusantara, Jokowi juga dijangka akan merasmikan pembukaan ibu kota Indonesia yang baharu itu. Tetamu kehormat, termasuklah duta-duta negara akan dijemput ke kota Nusantara bagi menghadiri kedua-dua acara itu. "Tetamu kehormat akan hadir di Nusantara, dan mereka tidak akan tinggal bermalam di sana. Oleh itu, selepas selesai upacara mereka akan terus pulang," jelas Effendy.

Menurut Jokowi, sambutan serentak di kedua-dua lokasi adalah sebagai simbol permulaan kepada pemindahan ibu negara. "Kita sekarang berada dalam tempoh peralihan dari Jakarta ke ibu negara akan datang, Nusantara. Sambutan di kedua-dua lokasi adalah simbolik kepada peralihan, jadi kita akan adakan sambutan di sini dan di Nusantara," katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Jakarta Selatan, sehari selepas pengumuman sambutan Hari Kemerdekaan dibuat.

Tambahnya lagi, satu dekri presiden sedang digubal untuk proses peralihan ibu negara itu. Apabila diwartakan kelak, sambutan Hari Kemerdekaan akan datang akan dipusatkan dari Nusantara.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini