Wn/ms/Muay Thai dijadikan subjek dalam kelas, terapkan disiplin dan hargai warisan

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Muay Thai dijadikan subjek dalam kelas, terapkan disiplin dan hargai warisan

20 Jun 2024 (Khamis)

BANGKOK - Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) memutuskan untuk memperkenalkan Muay Thai sebagai salah satu daripada kursus elektif pada kesemua 437 buah sekolah di wilayah Bangkok dalam usaha untuk mengekalkan warisan serta menerapkan disiplin dari bangku sekolah.

Muay Thai memupuk semangat kesukanan dari kalangan anak muda.
Imej: Love Krittaya.

Menurut Presiden Majlis Bandaraya Surajit Pongsingwitthaya, pengajaran subjek Muay Thai akan diintegrasikan melalui kurikulum pendidikan jasmani dan kesihatan dan dijangka mampu menarik minat yang ketara dari kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Pengarah Jabatan Pendidikan BMA, Thanakorn Chaisri.

"Banyak kebaikan yang boleh dipelajari hasil pembelajaran Muay Thai, daripada melatih anak muda supaya mereka lebih bersedia dan berdisiplin sehinggalah memupuk semangat kesukanan," kata Surajit.

Pelatih bertauliah dari pelbagai institusi Muay Thai di seluruh Bangkok akan dibawa masuk bagi mengendalikan kelas berkenaan. Sesi kelas Muay Thai akan dijalankan selepas waktu sekolah, dan terdapat kemungkinan kelas itu akan dianjurkan kepada orang luar atau staf dari agensi BMA.

Surajit menegaskan Muay Thai boleh diangkat sebagai salah satu daripada karier profesional, di samping mengekalkan pemeliharaannya sebagai seni mempertahankan diri warisan negara. "Anak muda boleh memahami sejarah (tinju Thai) dan belajar untuk menghargai budaya serta warisannya. Ini adalah sukan yang menarik minat mendalam daripada orang di seluruh dunia."


Sumber

edit


Kongsikan berita ini