22 Julai 2024 (Isnin)
KUALA LUMPUR - Syarikat induk Facebook, Meta Inc. memohon maaf kepada agensi kerajaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas kesilapan terjemahan automatik Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris yang mencetuskan keadaan tidak senang di kalangan rakyat, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial Facebook.
Menurutnya lagi, mereka ambil maklum tentang kesalahan terjemahan yang melibatkan hantaran di Facebook mengenai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Hari Keputeraan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.
"Kami telah menyelesaikan kesilapan teknikal ini," kata Rafael Frankel, Pengarah Dasar Awam Asia Tenggara Meta Inc. "Kami sangat menghormati Kerabat Diraja Malaysia dan dengan ikhlas meminta maaf kepada RTM, Dewan Negeri Johor dan mereka yang terkesan dengan kesilapan itu."
Semalam RTM melaporkan mereka tidak pernah membuat hantaran berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam mana-mana bahasa selain Bahasa Melayu di laman Facebook rasminya. Tegasnya, kandungan yang dipaparkan dalam Bahasa Inggeris itu telah diterjemah secara automatik oleh Facebook dan merupakan terjemahan yang salah sama sekali.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi pihak Meta bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membetulkan kesilapan terjemahan itu.
Sumber
edit- (Inggeris) " META apologises to RTM, Johor State Sports Council over erroneous Facebook translation " — The Sun, 22 Julai 2024
- (Melayu) Mohd Nasaruddin Parzi. "META mohon maaf kesilapan terjemahan berkait pertabalan Agong di Facebook" — Berita Harian, 22 Julai 2024
- (Melayu) "Meta mohon maaf kesilapan teknikal ucapan Istiadat Pertabalan Agong" — Astro Awani, 22 Julai 2024
- (Melayu) "Kandungan Facebook RTM disalah terjemah sistem" — Berita RTM, 21 Julai 2024