24 Mei 2024 (Jumaat)
Mahkamah Perlembagaan Thailand menerima petisyen yang dikemukakan oleh 40 orang Senator bagi memulakan siasatan tatakelola terhadap Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin yang didakwa melantik seorang bekas peguam dengan rekod jenayah lampau ke dalam barisan kabinetnya. Jika didapati bersalah, Srettha boleh disingkirkan daripada memegang jawatan Perdana Menteri.
Petisyen itu difailkan pada 15 Mei antara lain mendakwa Srettha melanggar piawaian politik beretika dengan melantik Pichit Chuenban, seorang bekas peguam yang memiliki rekod jenayah berkaitan rasuah dan memegang jawatan Menteri di Pejabat Perdana Menteri. Portfolio itu diberikan kepada Pichit selepas rombakan kabinet yang berlaku pada 28 April.
Pada tahun 2008, Pichit telah dipenjara selama enam bulan atas tuduhan menghina mahkamah setelah Mahkamah Tinggi mendapati dia dan dua rakan sejawatnya bersalah dalam cubaan sogokan rasuah 2 juta Baht kepada pegawai mahkamah. Mereka bertiga pada ketika itu mewakili bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dalam kes berkaitan konflik kepentingan.
Pichit meletak jawatan pada Selasa dalam apa yang disifatkan menerusi surat peletakan jawatannya sebagai usaha untuk melindungi Perdana Menteri. Dia hanya memegang jawatan itu selama 23 hari.
Pada Khamis, undian awal telah berlangsung dengan keputusan 5-4 untuk tidak menggantung Srettha dan meminta Perdana Menteri itu untuk menghantar dokumen bagi pembelaannya dalam masa 15 hari. Selepas itu, mahkamah akan bersidang bagi menentukan sama ada dia akan digantung tugas atau dipecat.
Sumber
edit- (Inggeris) Napat Kongsawad. " The Constitutional Court of Thailand agrees to hear a case that could imperil the prime minister " — ABC News, 23 Mei 2024
- (Inggeris) " PM Srettha’s job on the line as charter court accepts senators’ petition " — Asia News Network, 24 Mei 2024
- (Inggeris) Aekarach Sattaburuth. " Senators ask charter court to impeach PM, new minister Pichit " — Bangkok Post, 17 Mei 2024
- (Inggeris) " Thai court accepts complaint seeking PM’s removal " — FMT, 23 Mei 2024