Wn/ms/Mahkamah UK tolak rayuan wanita yang dilucutkan kewarganegaraan berkait militan Daesh

< Wn | ms
Wn > ms > Mahkamah UK tolak rayuan wanita yang dilucutkan kewarganegaraan berkait militan Daesh

8 Ogos 2024 (Khamis)

LONDON - Seorang wanita kelahiran Britain pada Rabu gagal dalam rayuannya untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan kerajaan yang menggugurkan kerakyatan Britain atas sebab keselamatan negara selepas dia berpindah ke Syria dan berkahwin dengan lelaki militan Daesh.

Panel tiga anggota Mahkamah Agung UK itu sebulat suara menolak rayuan yang dikemukan Shamima Begum, 24 tahun, atas alasan rayuan itu tidak menimbulkan keraguan yang munasabah dari segi undang-undang. Menurut penghakiman, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan adalah tepat dan tidak dipertikaikan, termasuklah sama ada Begum sepatutnya mengemukakan representasi kepada setiusaha dalam negeri pada ketika itu sebelum kerakyatannya dilucutkan.

Pada Februari, Baroness Carr, hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Begum atas alasan tindakan pelucutan kerakyatan itu tidak bercanggah dengan undang-undang. "Boleh jadi kes Begum ini adalah keras ataupun dia sendiri yang menentukan nasibnya, tetapi ia bukan tugas mahkamah untuk bersetuju atau tidak dengan mana-mana pandangan sekalipun," kata Carr.

Begum meninggalkan London semasa dia berusia 15 tahun dan pergi ke Syria bersama dua orang rakan sekolahnya. Di sana, dia berkahwin dengan seorang lelaki dari kumpulan militan Daesh dan melahirkan tiga orang anak namun kesemuanya meninggal selepas lahir. Kerakyatan Britain yang dimilikinya dilucutkan oleh kerajaan Britain atas sebab keselamatan selepas dia dijumpai di kem pelarian Syria pada 2019.

Begum berkata tindakan melucutkan kerakyatannya adalah bertentangan dengan undang-undang kerana dia mendakwa pegawai kerajaan Britain gagal mempertimbangkan situasi sama ada dia dijadikan mangsa perdagangan manusia.

Peguam yang mewakili Begum pula merancang untuk membawa kes itu ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg. "Mewakili Cik Begum, kami para peguamnya akan mengambil setiap langkah perundangan yang mungkin, termasuklah petisyen kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah," menurut kenyataan yang dikeluarkan firma guaman Birnberg Peirce.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini