19 Jun 2024 (Rabu)
Lohong hitam super besar dicerap ahli astronomi di bahagian tengah galaksi yang terletak kira-kira 360 juta tahun cahaya dari Bumi. Lohong itu dikesan setelah bacaan data mendapati terdapat lonjakan kadar kecerahan galaksi itu dari mulanya ia dicerap sehingga kini.
Menerusi artikel yang diterbitkan dalam jurnal Astronomy & Astrophysics (A&A), galaksi yang diberi nama SDSS1335+0728 bersinar dengan lebih terang berbanding sebelumnya. "Bayangkan anda sedang mencerap galaksi yang berjauhan selama bertahun-tahun, dan selalunya ia nampak tenang dan tidak aktif," kata Paula Sánchez Sáez, pengarang utama artikel itu dan ahli astronomi di Balai Cerap Selatan Eropah (ESO). "Tiba-tiba, terasnya mula menampakkan perubahan kecerahan yang dramatik, tidak seperti peristiwa biasa yang kami lihat sebelum ini."
Galaksi itu mula dicerap dengan teliti sekitar 2019 apabila Balai Cerap Zwicky Transient Facility di California mula mengesan bacaan kecerahan yang meningkat secara mendadak. Galaksi itu kemudian diklasifikasikan sebagai nukleus galaksi aktif oleh badan pemantau dari Chile, Pembelajaran Automatik untuk Pengklasifikasian Pantas Peristiwa (ALeRCE).
Kadar kecerahan yang semakin terang sehingga hari ini mematahkan hujah bahawa peristiwa yang dicerap itu merupakan sebahagian daripada letupan supernova atau gangguan tenaga. Perbandingan data sebelum dan selepas peristiwa itu menunjukkan galaksi SDSS1335+0728 kini memancarkan lebih banyak gelombang ultraungu, optik dan inframerah. Pada Februari, mereka mengesan sinaran X mula dikeluarkan dari galaksi itu.
"Pilihan paling ketara untuk menjelaskan fenomena ini ialah kita sedang menyaksikan bagaimana bahagian teras galaksi mula menampakkan tanda-tanda aktiviti," kata Lorena Hernández García, pengarang bersama artikel itu. "Jika itu yang berlaku, maka ini merupakan kali pertama kami mengesan pengaktifan lohong hitam yang besar dalam masa nyata."
Lohong hitam super besar mempunyai jisim 100,000 kali ganda berbanding Matahari biasanya wujud di bahagian teras galaksi termasuklah Bima Sakti. "Jisim gergasi itu biasanya tidak aktif dan susah untuk dicerap," jelas Claudio Ricci, pengarang bersama artikel itu dari Universiti Diego Portales. "Dalam kes SDSS1335+0728, kita berjaya mengesan lohong hitam yang mula aktif dan 'menelan' gas yang berada di sekelilingnya, menyebabkan kadar kecerahan semakin meningkat."
Sumber
edit- (Inggeris) " Astronomers see a massive black hole awaken in real time " — ESO, 18 Jun 2024
- (Inggeris) Adam Mann. " Astronomers watch a supermassive black hole turn on for the first time " — Science News, 18 Jun 2024
- (Inggeris) Ian Sample. " Astronomers detect sudden awakening of black hole 1m times mass of sun " — The Guardian, 18 Jun 2024
- (Inggeris) " Scientists witness a dormant supermassive black hole roar to life " — XM, 18 Jun 2024