Wn/ms/Liputan telekomunikasi pedalaman Sarawak lebih baik dengan MOCN

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Liputan telekomunikasi pedalaman Sarawak lebih baik dengan MOCN

25 Mei 2024 (Sabtu)

Kuching - Kadar keterhubungan digital di kawasan pedalaman Sarawak bakal dinaik taraf menerusi pengaktifan perkhidmatan Rangkaian Teras Pengendali Pelbagai (MOCN) yang digunakan dalam 247 buah Menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) sehingga 15 Mei.

Kuching, Sarawak
Imej: CoolCityCat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada rancangan membina 600 buah menara telekomunikasi di Sarawak menerusi beberapa fasa peruntukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat telekomunikasi.

Perjanjian di antara Sarawak Digital Economy Corporation Bhd. (SDEC) dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi Berhad, Maxis Broadband Sdn. Bhd., UMobile Sdn. Bhd. dan YTL telah ditandatangani bagi menyediakan perkhidmatan MOCN itu di semua 600 menara telekomunikasi di bawah inisiatif SMART600.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi, jalinan kerjasama itu merupakan platform sesuai dalam membolehkan pihak kerajaan meluaskan lagi kadar keterhubungan Internet di Sarawak. "Transformasi digital merupakan salah satu daripada pemboleh ubah di bawah Pelan Strategik Pasca Covid kami seterusnya menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya lagi.

Pemasangan menara telekomunikasi itu masih lagi berjalan, di mana 247 menara menggunakan rangkaian MOCN, manakala 308 menara lagi sudah beroperasi menggunakan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN). Menurut kenyataan SKMM, perjanjian itu menandakan buat pertama kali di dunia MOCN enam arah digunakan; menyediakan rangkaian dari CelcomDigi, Maxis, UMobile, YES dan MySBRN.

Tambah SKMM lagi, projek itu dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 1,000 penduduk di luar bandar dan dengan inisiatif itu, komuniti dapat menikmati liputan yang lebih baik tanpa mengira penyedia telekomunikasi yang mereka pilih.

Sumber

edit


Kongsikan berita ini