Wn/ms/Lebih 2.5 bilion pengguna VPN percuma Android berisiko pembocoran data

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Lebih 2.5 bilion pengguna VPN percuma Android berisiko pembocoran data

9 Jun 2024 (Ahad) Hampir 90 peratus aplikasi yang menawarkan perkhidmatan VPN percuma di Google Play Store berpotensi membocorkan data pengguna, termasuklah 17 aplikasi VPN dilaporkan membocorkan data selain permintaan DNS, demikian menurut dapatan kajian yang diterbitkan di laman Top10VPN.

Risiko kebocoran data peribadi terhadap perkhidmatan VPN percuma.
Imej: mikemacmarketing.

Simon Migliano, penyelidik kajian itu menghabiskan masa selama beberapa bulan melakukan ujian terhadap 100 aplikasi VPN percuma yang popular di peranti Android, di mana sejumlah 2.5 bilion pemasangan direkodkan di seluruh dunia. Dalam kajiannya itu, dia melakukan beberapa siri ujian seperti ujian protokol penyulitan, ujian kestabilan laluan rangkaian VPN (VPN tunneling), prospek perisian hasad dan kebocoran data peribadi, penjejakan dan pengumpulan data dari pihak ketiga, dan lain-lain yang berkaitan.

100 aplikasi VPN percuma yang popular itu dipasang ke peranti Android dan ujian teknikal dijalankan bertujuan untuk merangkumi dapatan kajian dalam dua aspek terpenting bagi perkhidmatan VPN iaitu privasi dan keselamatan. Keputusan ujian itu membolehkan Simon mengenal pasti kelemahan yang ada serta mengetahui di manakah tahap kualiti yang ditawarkan oleh perkhidmatan VPN percuma itu.

"Keputusannya agak membimbangkan," kata Simon.

"Penemuan saya mengesahkan bagaimana majoriti daripada aplikasi VPN percuma ini meletakkan privasi kita dalam bahaya dengan menghantar data peribadi secara langsung kepada pihak ketiga, termasuklah kepada firma kontroversi seperti Bytedance dan Yandex," tambahnya lagi.

Simon juga merumuskan bagaimana penyedia perkhidmatan VPN percuma itu perlu menanggung kos pelayan akibat peningkatan jumlah pengguna tanpa mengenakan sebarang yuran langganan. "Tidak terkejut melihat kebanyakkan penyedia VPN percuma ini bergantung kepada pengiklanan atau membuat keuntungan daripada data pengguna bagi menanggung kos, namun secara asasnya ia bertentangan dengan tujuan sebenar VPN."

Diakhirnya, Simon menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan VPN yang berbayar, walaupun jika harganya lebih murah kerana "penyedia tidak perlu lagi untuk mencari cara lain menanggung kos operasi."


Sumber

edit


Kongsikan berita ini