18 Jun 2024 (Selasa)
Kerajaan Myanmar melancarkan sebuah kempen "Satu Pelancong Satu Pokok" di mana pelancong antarabangsa yang bercuti ke sana digalakkan menanam sebatang pokok sebagai tanda peringatan bagi mempromosikan pelancongan yang lebih lestari serta kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar.
Menurut jurucakap dari Jabatan Promosi Pelancongan kepada media Xinhua pada Isnin, inisiatif itu dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Hotel dan Pelancongan serta Kementerian Sumber Asli dan Pemuliharaan Alam Sekitar dalam usaha untuk mengawal impak yang terjadi kesan daripada bencana yang berpunca daripada perubahan iklim serta mempelbagaikan biodiversiti.
"Pelancong asing sama ada dari kalangan individu atau berkumpulan yang melawat Myanmar, dan ada yang datang di bawah pengurusan agensi pelancongan. Kami akan menyelaras dengan syarikat pelancongan terbabit untuk menanam pokok di mana-mana lokasi yang dilawati para pelancong," kata jurucakap itu.
Kempen itu diadakan secara tahunan dari bulan Jun hingga November. Beberapa destinasi pelancongan popular dipilih sebagai lokasi penganjuran kempen termasuklah di Yangon, Nay Pyi Taw, tapak arkeologi Bagan, Mandalay, Tasik Inle, Pantai Ngwehsaung dan Chaungtha.
Dengan penganjuran kempen itu, kerajaan berharap sektor pelancongan dapat menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar serta mengurangkan kesan daripada pelepasan gas rumah hijau yang berkaitan.
Sumber
edit- (Inggeris) " Myanmar initiates "One Tourist One Tree" campaign for responsible tourism " — Xinhua, 17 Jun 2024
- (Inggeris) " One Tourist-One Tree programme to start in coming July" — The Global New Light of Myanmar, 17 Jun 2024
- (Melayu) "Myanmar lancarkan kempen 'Seorang Pelancong, Sebatang Pokok'" — Astro Awani, 17 Jun 2024