Wn/ms/Keluarga Altantuya fail notis kebankrapan terhadap Abdul Razak Baginda

< Wn | ms
Wn > ms > Keluarga Altantuya fail notis kebankrapan terhadap Abdul Razak Baginda

29 Ogos 2024 (Khamis)

SHAH ALAM - Satu notis kebankrapan telah difailkan keluarga model Mongolia mendiang Altantuya Shaariibuu terhadap Abdul Razak Baginda, selepas dia gagal melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM9.261 juta dalam bentuk ganti rugi termasuk faedah seperti yang telah diputuskan di Mahkamah Tinggi pada 2022.

Notis itu difailkan ibu bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa bersama cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal menerusi firma guaman Karpal Singh & Co. di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Julai.

Menurut notis berkenaan, keluarga mendiang menuntut jumlah hutang sebanyak RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan bersama faedah sebanyak RM4.261 juta seperti yang telah diputuskan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera di Mahkamah Tinggi pada Disember 2022.

Pada ketika itu, Hakim Vazeer memerintahkan empat pihak; Abdul Razak, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan Kerajaan Malaysia secara bersama membayar pampasan atas kesalahan cuai dan menyebabkan kematian mendiang pada 2006. Pada awalnya, keluarga mendiang menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta, namun ia ditolak mahkamah atas alasan ia "terlalu berlebihan dan tiada kewajaran".

Sementara itu, Abdul Razak telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis kebankrapan tersebut kerana salah satu sebabnya ialah dia telah memfailkan rayuan untuk mencabar jumlah pampasan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Selain itu, dia mendakwa keluarga mendiang tidak pernah membuat sebarang tuntutan seperti yang telah diputuskan kepadanya.

Untuk rekod, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu berlaku pada Oktober 2006 dengan badannya diletupkan dengan menggunakan bahan letupan jenis C4. Susulan itu, dua bekas komando polis, Azilah dan Sirul disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Azilah kini sedang menunggu hukuman mati dikenakan terhadapnya, namun Sirul sempat melarikan diri ke Australia sebelum hukuman disabitkan kepadanya.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini