14 Julai 2024 (Ahad)
ACEH - Bilangan pesakit jangkitan HIV di kawasan Kota Lhokseumawe terus menyaksikan peningkatan, dengan jumlah terbaru direkodkan sebanyak 106 pesakit. Kegiatan seks bebas merupakan faktor utama peningkatan di bandar kedua terbesar di wilayah Aceh itu, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Ketua Perkhidmatan Kesihatan Kota Lhokseumawe, Safwaliza berkata pesakit HIV/AIDS terus menunjukkan trend peningkatan, di mana tahun 2022 merekodkan sebanyak empat kes, 2023 bertambah dengan 10 kes. Tahun 2024 pula merekodkan 14 kes baru untuk tempoh Januari hingga Jun.
"Bilangan pesakit HIV/AIDS kini mencapai 106 kes di Kota Lhokseumawe. Dari jumlah tersebut, seorang bayi berumur 11 bulan meninggal dunia akibat positif virus itu yang dijangkiti dari kedua ibubapanya sekitar tahun 2022," katanya kepada media HabaAceh.id pada Jumaat.
Jelasnya, semua pihak termasuklah komuniti setempat, pasukan perubatan lapangan serta pegawai berkuasa perlu segera mengambil perhatian serius dalam memastikan bilangan kes jangkitan itu dapat dikurangkan. Selain itu, pasukan perubatan juga bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam melakukan aktiviti khidmat masyarakat di sekolah serta di kampung-kampung bagi memberi kesedaran tentang bahayanya penyakit itu.
Beliau juga merayu kepada semua pihak agar bersama-sama mencegah penularan jangkitan HIV. "Hindari penyakitnya, bukan orangnya," tambahnya.
Sumber
edit- (Melayu) Masriadi , Aloysius Gonsaga AE. "Jumlah Penderita HIV di Lhokseumawe Mencapai 106 Orang, Didominasi karena Seks Bebas" — KOMPAS, 14 Julai 2024
- (Melayu) Mulyadi. "Seks Bebas Faktor Penularan HIV/AIDS di Lhokseumawe" — The Guardian, 12 Julai 2024