19 Julai 2024 (Jumaat)
Jutaan pengguna dan syarikat di seluruh dunia terkesan dengan kegagalan sistem komputer akibat kemaskini terbaru yang dikeluarkan pengendali perisian anti-malware Crowdstrike Falcon. Kegagalan itu hanya berlaku pada komputer yang menggunakan sistem pengendalian Windows.
Insiden kegagalan itu dilaporkan kira-kira pukul 3 petang waktu Kuala Lumpur, apabila komputer yang menggunakan perisian itu tiba-tiba gagal berfungsi dan memaparkan paparan blue screen of death (BSOD). BSOD ialah ciri dari Windows yang memberitahu pengguna jika sistem berdepan dengan masalah yang serius sehingga ia tidak dapat diproses.
"Crowdstrike maklum akan laporan kegagalan peranti Windows berkaitan dengan komponen Falcon," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Crowdstrike di laman mereka. "Jurutera kami sedang aktif bekerja untuk menyelesaikan masalah ini dan (pengguna) tidak perlu untuk membuka tiket sokongan."
Insiden itu menyebabkan beberapa perkhidmatan utama di Australia terjejas. Perkhidmatan penerbangan merupakan antara yang terkesan apabila beberapa jadual penerbangan terpaksa ditunda ekoran komputer yang digunakan kerap melakukan proses but. Selain itu, syarikat media seperti ABC dan News Corp Australia juga melaporkan isu yang sama.
Crowdstrike ialah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemantauan infrastruktur IT dari aspek keselamatan siber, termasuklah memantau jika terdapat aktiviti dalam sistem yang mencurigakan atau apa sahaja yang memerlukan amaran sekuriti atau mengunci komputer dari jauh.
Sumber
edit- (Inggeris) Lauren Ferri. " Massive outage hits companies around the world " — news.com.au, 19 Julai 2024
- (Inggeris) " Global website outage caused by CrowdStrike cybersecurity glitch " — CapitalBrief, 19 Julai 2024
- (Inggeris) Amanda Yeo. " Windows PCs crashing worldwide due to CrowdStrike issue " — Mashable, 19 Julai 2024
- (Inggeris) Arjun Kharpal. " Cybersecurity giant Crowdstrike suffers major outage affecting businesses around the world " — CNBC, 19 Julai 2024