26 Mei 2024 (Ahad)
New Delhi - Sekurang-kurangnya 27 orang maut, termasuk sembilan kanak-kanak dalam insiden kebakaran di sebuah taman tema hiburan di negeri Gujerat, barat India, menurut kenyataan oleh polis. Terdapat lebih 300 orang sedang berada di dalam premis dua tingkat itu apabila api mula marak dan memusnahkan bangunan itu.
Pesuruhjaya Polis, Raju Bhargava berkata kebakaran dapat dikawal dan operasi menyelamat sedang dijalankan. Pegawai Polis, Vinayak Patel pula berkata sukar untuk mengenal pasti identiti mayat yang rentung itu. "Fokus kami ialah operasi mencari dan menyelamatkan nyawa. Kami akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana orang yang bertanggungjawab ke atas insiden ini," menurut Datuk Bandar, Nayana Pedhadiya.
Polis berkata mereka telah menahan pemilik dan pengurus taman tema itu untuk disoal siasat. Selain itu, polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik taman tema hiburan itu, Yuvraj Singh Solanki. "Kita akan buka kertas siasatan akibat cuai dan mendatangkan maut. Siasatan lanjut akan dijalankan selepas kita selesai melakukan operasi mencari," kata Bhargava.
Menurut saksi, beberapa orang termasuklah kanak-kanak sedang bermain di zon permainan yang menempatkan permainan boling, go-kart dan tarikan trampolin, yang terletak bersebelahan dengan Jalan Nana-Mava, apabila tragedi itu berlaku. Api yang tiba-tiba marak itu memusnahkan struktur seakan kubah dan runtuh, menyebabkan mereka terperangkap di bawah runtuhan itu. Selepas menerima maklumat itu, sepasukan bomba segera memulakan operasi bagi menyelamatkan pengunjung yang terperangkap.
Pusat Kawalan Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4:30 petang waktu tempatan mengenai insiden itu dan bergegas ke tempat kejadian. Runtuhan struktur akibat kebakaran itu juga menyukarkan pihak bomba memadamkan api dan memerlukan empat jam untuk mengawal situasi. Setakat ini, punca kebakaran masih lagi tidak diketahui namun bomba mengesyaki punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas.
Taman tema hiburan di Rajkot itu biasanya menerima ratusan pengunjung bersama kanak-kanak pada hujung minggu apabila masuknya musim cuti sekolah.
Sumber
edit- (Inggeris) " At least 24 people, including children, killed in fire in India’s Gujarat " — Aljazeera, 25 Mei 2024
- (Inggeris) " At least 27 people killed in huge fire at amusement park in India " — The Guardian, 25 Mei 2024
- (Inggeris) " Fire at amusement park in western India kills at least 20, police say " — CBS News, 25 Mei 2024
- (Inggeris) " 27, including 4 children, die in Rajkot gaming arcade fire " — Hindustan Times, 26 Mei 2024