Wn/ms/Kaamatan 2024, "Poingalib Kohimaganan Taakanon"

< Wn | ms
Wn > ms > Kaamatan 2024, "Poingalib Kohimaganan Taakanon"

30 Mei 2024 (Khamis)

Hari ini 30 Mei 2024, masyarakat di Sabah terutamanya kaum Kadazan-Dusun Murut Rungus (KDMR) dan lain-lain menyambut Hari Kaamatan bagi memanjatkan kesyukuran atas hasil padi yang melimpah ruah serta memberi penghormatan kepada "Bambarayon". Bambarayon menurut kepercayaan KDMR, merupakan penjaga dan semangat padi yang perlu dijaga dan dilayan dengan baik sebagai jaminan hasil tuaian padi yang memberangsangkan setiap tahun.

Pesta Kaamatan 2024.
Imej: Evaaudreyanne.

Dikenali juga dengan nama Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai, ianya diraikan secara meriah bukan setakat di Sabah, malah di seluruh Malaysia serta diiktiraf sebagai perayaan rasmi dengan cuti umum diwartakan pada 30 dan 31 Mei di Sabah. Pada tahun ini, sambutan Tadau Kaamatan bertemakan "Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan" atau dalam bahasa Kadazan-Dusunnya "Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon" manakala daerah Ranau di Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi pelancaran Tadau Kaamatan itu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, pemilihan tema itu bertepatan dengan misi utama negara dan global pada ketika ini yang memfokuskan kepada akses keterjaminan sumber makanan, selain menjadi wadah dalam menyatukan perpaduan dari kalangan pelbagai bangsa, etnik dan agama. "Dalam masa yang sama kita memperingatkan betapa pentingnya keterjaminan makanan dan pesta Kaamatan menjadi platform untuk rakyat kita berniaga," tambahnya menerusi wawancara bersama Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM awal bulan ini.

Acara utama yang diadakan semasa Tadau Kaamatan ialah Unduk Ngadau atau Pertandingan Ratu Kecantikan. Unduk Ngadau merupakan acara tradisi yang disambut semasa perayaan Tadau Kaamatan sebagai mengenang pengorbanan "Huminodun", seorang gadis jelita yang dikatakan terpaksa dikorbankan oleh tuhan masyarakat Kadazan-Dusun, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu yang percaya bencana alam yang melanda pada ketika itu akan berakhir. Perkataan Unduk Ngadau pula berasal daripada perkataan 'Runduk Tadau' yang membawa maksud "gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari".

Acara penutup Hari Kaamatan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di Penampang, Sabah.

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada semua masyarakat yang meraikannya!


Sumber

edit


Kongsikan berita ini