Wn/ms/Jangkitan kulit dari kulat akibat hubungan sejenis dilaporkan di AS

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Jangkitan kulit dari kulat akibat hubungan sejenis dilaporkan di AS

6 Jun 2024 (Khamis)

Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dari New York menjadi orang pertama di Amerika Syarikat dilaporkan terkena jangkitan kurap pada kemaluannya yang disebarkan melalui hubungan seksual berpunca daripada sejenis strain kulat yang mudah dijangkiti.

"Penyedia penjagaan kesihatan seharusnya berhati-hati dengan kesan jangkitan kulit yang teruk berpunca dari kulat Trichophyton mentagrophytes type VII (TMVII) telah menular ke Amerika Syarikat," kata Avrom Caplan, seorang dermatologi di Sekolah Perubatan Grossman Universiti New York menerusi kenyataan akhbar mengenai laporan kes yang diterbitkan di jurnal JAMA Dermatology. Jangkitan kulit itu pula sukar untuk dipulihkan walaupun setelah menerima rawatan.

Pesakit lelaki itu mula dijangkiti kulat berbahaya apabila munculnya ruam dan kurap di bahagian kemaluan, punggung dan beberapa bahagian lain selepas dia pulang dari melancong ke England, Greece, dan California. Menurut laporan itu lagi, ujian genetik dijalankan ke atas sampel yang diambil mengesahkan kulat TMVII di mana penularannya semakin meningkat di Eropah dengan 13 kes direkodkan di Perancis tahun 2023.

Selain itu, kes-kes yang direkodkan juga adalah berkaitan dengan aktiviti hubungan seks sesama lelaki. "Lelaki itu memberitahu para pengkaji kami bahawa dia telah melakukan hubungan seksual dengan beberapa pasangan lelaki lain semasa dia melancong, tiada daripadanya melaporkan masalah kulit yang serupa."

“Disebabkan pesakit selalunya enggan membincangkan masalah berkaitan kemaluan, doktor perlu bertanya secara langsung mengenai kewujudan ruam atau kurap di sekitar pangkal paha dan punggung, lebih-lebih lagi kepada mereka yang melakukan hubungan seksual secara aktif, pernah melancong ke luar negara dan melaporkan kegatalan di mana-mana bahagian badan,” cadang Dr. John Zampella, penulis senior laporan kes tersebut.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini