Wn/ms/Jamaica larang penggunaan bekas plastik sekali guna bermula 1 Julai

< Wn | ms
Wn > ms > Jamaica larang penggunaan bekas plastik sekali guna bermula 1 Julai

11 Jun 2024 (Selasa)

Bermula 1 Julai, Jamaica bakal melaksanakan larangan pengimportan, pengedaran, penjualan dan penggunaan bekas makanan plastik sekali guna yang diperbuat daripada polietilena, polipropilena atau asid polilaktik (PLA). Manakala sektor swasta diberi tempoh tambahan enam bulan dari tarikh pelaksanaan untuk menghabiskan stok bekalan bekas makanan plastik sekali guna bagi kegunaan domestik.

Tiada lagi penggunaan bekas plastik sekali guna di Jamaica bermula 1 Julai.

Menurut Menteri Tanpa Portfolio di Kementerian Pertumbuhan Ekonomi dan Penghasilan Pekerjaan, Matthew Samuda, tambahan masa itu diberikan bertujuan untuk memudahkan peralihan oleh kerana syarikat masih lagi dibenarkan membuat tempahan stok sebelum Julai. "Semua tempahan yang telah diterima sebelum 1 Julai 2024 masih lagi dibenarkan, namun bukti tempahan itu perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, larangan itu sepatutnya dikuatkuasakan bermula Jun namun dipanjangkan kerana terdapat kebimbangan dari pihak yang terlibat, selain memperhalusi kawalan pentadbiran, mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan serta meningkatkan lagi kesedaran umum.

Ini merupakan fasa keempat dalam siri larangan menggunakan bahan plastik sekali guna sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk melindungi kesihatan rakyat dan alam sekitar. Fasa seterusnya dijangka akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2025, di mana larangan itu akan diperluaskan kepada produk penjagaan diri dan komestik yang mengandungi bahan microbead yang biasanya terdapat pada pembasuh muka berjenis scrub atau mikroplastik yang ditambah dengan sengaja.

Dalam menaikkan sokongan terhadap fasa itu, Agensi Alam Sekitar dan Perancangan Negara (NEPA), bersama Kementerian Pertumbuhan Ekonomi dan Penghasilan Pekerjaan akan mengadakan kempen kesedaran umum dalam penghebahan mengenai objektif dan kesan positif terhadap larangan yang dikuatkuasakan itu. Dari peringkat kementerian pula, mereka akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan terutamanya orang awam dalam menggalakkan penyertaan mereka dalam membuat keputusan.

Walaupun begitu, menurut Samuda bentuk larangan itu difokuskan kepada plastik yang tidak boleh dikitar semula, namun kerajaan sedar "ini bukanlah masalah utama yang dihadapi kini."


Sumber

edit


Kongsikan berita ini