Wn/ms/Ireland, Norway, Sepanyol akan mengiktiraf Palestin negara merdeka

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Ireland, Norway, Sepanyol akan mengiktiraf Palestin negara merdeka

23 Mei 2024 (Khamis)

Norway, Ireland dan Sepanyol bakal mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan tiga pemimpin utama negara berkenaan pada Rabu, dengan harapan memberikan keamanan kepada konflik yang telah berlanjutan selama lebih 75 tahun.

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store berkata penyelesaian dua negara adalah mengikut kepentingan Israel dan pengiktirafan negara Palestin akan dimuktamadkan pada 28 Mei. "Tiada kedamaian di Timur Tengah jika tiada pengiktirafan," katanya di Oslo.


Imej: Bilal Hoor.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez juga mengumumkan pengiktirafan negara Palestin pada 28 Mei. "Inilah masanya untuk beralih daripada penyataan kepada perbuatan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di akaun Facebook beliau. "Keamanan, keadilan dan kesepaduan merupakan asas kepada keputusan bersejarah kami."

Wartawan Aljazeera, Imran Khan berkata dia tidak terkejut melihat Norway memimpin keputusan ini kerana mereka adalah tulang belakang kepada Perjanjian Oslo - iaitu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1993 yang mengiktiraf Pertubuhan Pembebasan Palestin atau PLO sebagai perwakilan kerajaan yang sah untuk penduduk Palestin.

Dalam peperangan yang berterusan ini, dengan puluhan ribu mati dan cedera, kita perlu pastikan satu perkara yang menawarkan persekitaran yang selamat bagi kedua-dua rakyat Israel dan Palestin: penyelesaian dua negara dan hidup dalam suasana harmoni bagi kedua-dua pihak.

— Jonas Gahr Stoere, PM Norway, Reuters

...penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran generasi yang terlibat dalam keganasan, pemberontakan dan kebencian.

— Simon Harris, PM Ireland, Aljazeera

Sebelum ini, enam buah negara Eropah telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, menurut laman World Population Review - Poland, Bulgaria, Romania, Hungary, Ukraine dan Czechia (Republik Czech).

Untuk rekod, bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat mengumumkan kemerdekaan negara Palestin secara unilateral buat pertama kali pada bulan November 1988, dengan Jerusalem Timur diangkat sebagai ibu negara.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini