6 Julai 2024 (Sabtu)
Individu yang diuji positif jangkitan COVID-19 kini tidak lagi diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah (HSO) bermula 15 Julai, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat.
KKM berkata, individu yang dijangkiti virus itu dirawat sama seperti pesakit jangkitan saluran pernafasan serta keperluan pemberian sijil cuti sakit dan rujukan ke hospital akan dinilai oleh pegawai perubatan yang merawat pesakit berkenaan.
"Kes positif COVID-19 tidak perlu lagi melaporkan status positif setelah menjalankan ujian kendiri dalam aplikasi MySejahtera," menurut kenyataan KKM. "Dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya gejala berterusan atau semakin teruk."
Walaupun perintah HSO tidak lagi dikenakan, KKM menggalakkan individu yang disahkan positif COVID-19 supaya meminimumkan interaksi sosial serta mengelakkan dari mengunjungi tempat yang sesak. Selain itu, pemakaian pelitup muka adalah digalakkan pada mereka yang bergejala seperti batuk dan selsema serta petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan.
Statistik KKM mendapati sebanyak 3,810 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan dari 24 Jun hingga 30 Jun dengan tiada kematian direkodkan dalam tempoh sama. Tiada varian baharu dikenalpasti dan varian Omicron serta subvariannya kekal sebagai varian utama COVID-19 di Malaysia.
Sumber
edit- (Melayu) "Positif COVID-19: Tiada lagi kuarantin di rumah, berkuat kuasa 15 Julai" — Astro Awani, 5 Julai 2024
- (Inggeris) " What you should know about: MoH’s updated Covid-19 guidelines for ‘living with the virus’ " — Malay Mail, 5 Julai 2024
- (Inggeris) Nor Ain Mohamed Radhi. " No more stay-home orders for those infected by Covid-19 (WATCH) " — New Straits Times, 5 Julai 2024
- (Melayu) "Covid-19: Tiada lagi kuarantin di rumah mulai 15 Julai" — Sinar Harian, 5 Julai 2024