Wn/ms/Dua pesawat ringan berlanggar, seorang juruterbang maut

< Wn | ms
Wn > ms > Dua pesawat ringan berlanggar, seorang juruterbang maut

3 Jun 2024 (Isnin)

Dua pesawat ringan yang sedang melakukan persembahan udara berlanggar sesama sendiri pada Ahad, dalam pertunjukkan udara yang diadakan di bandar Beja, Portugal. Salah satu daripada pesawat ringan itu dilaporkan terhempas dan terbakar yang menyebabkan kematian seorang juruterbang yang berasal dari Sepanyol.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Udara Portugal (PAF), kemalangan itu berlaku pada pukul 4:05 waktu tempatan semasa dalam acara Pertunjukkan Udara Beja yang melibatkan enam buah pesawat ringan yang pada ketika itu sedang melakukan pertunjukkan udara. Dua pesawat malang itu adalah dari jenis Yakovlev Yak-52 iaitu pesawat ringan khusus untuk latihan pertunjukkan udara.

Video yang tular di media sosial menunjukkan formasi enam pesawat ringan semasa pertunjukkan apabila salah sebuah pesawat berpecah dari formasi itu dan melakukan tujahan ke atas dengan tiba-tiba, melanggar pesawat yang berada di hadapan formasi itu. Pesawat yang melanggar itu kemudian hilang kawalan sebelum jatuh terhempas, manakala pesawat yang dilanggar itu berjaya dikawal juruterbang.

Selepas kemalangan itu, PAF membuat keputusan untuk membatalkan acara Beja AirShow itu yang juga merupakan festival udara terbesar Portugal.

Sumber

edit


Kongsikan berita ini