10 Julai 2024 (Rabu)
Sekuel kepada filem komedi The Devil Wears Prada yang diterbitkan pada 2006 dilaporkan telah dirancang di Disney, dengan beberapa pelakon utama dan krew dijangka akan kembali termasuklah pengarah David Frankel.
Pelakon utama seperti Meryl Streep akan kembali dalam sekuel itu, memegang watak sebagai Miranda Priestly, seorang pengarang majalah Runway, bersama pelakon Emily Blunt, memegang watak sebagai Emily Charlton, yang pernah menjadi pembantu kepada Miranda dalam filem pertama.
Namun begitu, seorang lagi pelakon utama, Anne Hathaway yang memegang watak sebagai Andy Sachs dalam filem pertama belum lagi mengesahkan penglibatannya untuk filem terbaru itu.
Ia mengisahkan tentang keadaan di mana majalah yang diterbitkan secara fizikal kurang mendapat sambutan dari kalangan khalayak ramai kerana ramai cenderung kepada majalah atas talian. Miranda berdepan dengan krisis itu di kala syarikatnya pernah menerbitkan majalah Runway yang sangat popular ketika dalam filem pertama.
Emily Charlton ialah satu-satunya orang yang boleh menolong Miranda kerana dia pada ketika itu merupakan seorang eksekutif berjawatan tinggi di sebuah syarikat fesyen ternama. Miranda pula memerlukan sejumlah wang yang besar untuk pengiklanan jenama fesyen itu bagi membuktikan syarikat penerbitan majalahnya masih lagi relevan.
Peminat filem itu sudah sekian lama menantikan sekuel dan banyak spekulasi mengenai bagaimana sekuel itu akan diterbitkan, membabitkan masa depan Miranda, Andy dan Emily. Ketiga-tiga pelakon utama kerap bersama dalam beberapa acara, paling terbaru ialah pertemuan mereka bertiga dalam acara Anugerah SAG bulan Februari lalu.
Sumber
edit- (Inggeris) " ‘The Devil Wears Prada’ gets a sequel, but will the original cast be back? " — Malay Mail, 10 Julai 2024
- (Inggeris) Catherine Shoard. " The Devil Wears Prada sequel in the works about declining advertising revenues for print media " — The Guardian, 9 Julai 2024
- (Inggeris) Sabba Rahbar. " The Devil Wears Prada Is Officially Getting a Sequel After 18 Years " — E! News, 9 Julai 2024
- (Inggeris) Angelique Jackson. " ‘The Devil Wears Prada’ Sequel in the Works at Disney With Screenwriter Aline Brosh McKenna in Talks to Return " — Variety, 8 Julai 2024