Wn/ms/Brunei perkenal ciri penilaian risiko kanser payudara melalui aplikasi BruHealth

< Wn | ms
Wn > ms > Brunei perkenal ciri penilaian risiko kanser payudara melalui aplikasi BruHealth

23 Ogos 2024 (Jumaat)

BANDAR SERI BEGAWAN - Aplikasi kesihatan, BruHealth kini telah dikemaskini dengan penambahan ciri yang membolehkan rakyat melakukan penilaian kendiri berkaitan risiko kanser payudara. Ia telah dirasmikan oleh Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi BruHealth, versi terbaharu itu boleh dimuat turun melalui Google Play untuk peranti Android atau Apple App Store untuk peranti Apple. Semakan lanjut mendapati versi untuk aplikasi BruHealth telah dikemaskini pada 15 Ogos di Google Play dan 20 Ogos di App Store kepada versi 4.70. Aplikasi ini tidak ditawarkan untuk gedung Huawei AppGallery.

Menurut pengendali BruHealth, ciri terbaharu itu hanya menyediakan maklumat berkaitan penilaian yang telah dibuat sahaja dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai rujukan kesihatan. "Sila ambil maklum bahawa penilaian (risiko kanser payudara) adalah bertujuan untuk memberi maklumat sahaja dan tidak menggantikan konsultasi bersama pegawai perubatan," katanya.

"Kami menggalakkan pengguna untuk mendapatkan konsultasi lanjut bersama pegawai perubatan sekiranya terdapat persoalan berkaitan keputusan penilaian dalam aplikasi ini," tambahnya lagi.

Perasmian ciri terbaharu itu juga serentak dengan perasmian Pusat Pengimejan Payudara di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS). Ia telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Datuk Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Pusat itu memiliki tiga bilik mamogram, tiga bilik ultrasound, bilik laporan serta kemudahan lain termasuklah dua mesin mamogram baharu yang dilengkapi dengan aplikasi terkini seperti breast tomosynthesis yang berupaya memaparkan imej dalam tiga dimensi yang lebih jitu bagi meningkatkan mutu dan kualiti laporan diagnosis kanser.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini