5 Julai 2024 (Jumaat)
Susulan prestasi yang mengecewakan semasa perbahasan CNN bulan lalu, Joe Biden dilaporkan merancang untuk mendapatkan lebih banyak masa tidur serta tidak bekerja lebih waktu.
Memetik laporan dari New York Times, rancangan itu didedahkan oleh beberapa pegawai tidak dinamakan yang menghadiri perjumpaan tertutup Presiden Amerika Syarikat itu bersama gabenor Demokrat di White House. Selain itu, Biden juga mengarahkan stafnya untuk tidak menjadualkan mana-mana acara rasmi untuknya selepas pukul 8 malam.
"Kesihatan saya baik-baik saja," jawab Biden apabila ditanya gabenor Hawaii, Josh Green juga merupakan seorang doktor mengenai status kesihatannya.
"...mungkin otak saya," tambahnya. Beberapa gabenor menganggap kenyataan itu sebagai gurauan.
Seorang pembantu kempen Biden berhujah, selain melakukan persediaan perbahasan selama seminggu selepas dua kali perjalanannya ke Eropah, Biden juga terlibat dalam urusan rasmi selama berjam-jam selain melibatkan diri dalam kerja-kerja kempen.
"Presiden (George W.) Bush masuk tidur pukul 9 malam dan Presiden (Barack) Obama makan malam pukul 6:30," kata jurucakap kempen Biden Kevin Munoz. "Presiden yang normal juga perlu mendapatkan kesimbangan (kerja dan kehidupan seharian), begitu juga dengan Joe Biden."
Pada Khamis, White House mengesahkan Biden telah dinilai oleh doktor selepas dia terkena jangkitan selsema pada malam perbahasan itu. "Beberapa hari kemudian, presiden telah berjumpa doktornya mengenai jangkitan selsema dan sedang beransur pulih," kata jurucakap White House Andrew Bates kepada media CNN.
Sumber
edit- (Inggeris) Reid J. Epstein, Maggie Haberman. " Biden Tells Governors He Needs More Sleep and Less Work at Night " — The New York Times, 4 Julai 2024
- (Inggeris) Sara Dorn. " Biden Says He’ll Avoid Working Events After 8 p.m. To Get More Sleep Following Debate Debacle " — Forbes, 4 Julai 2024
- (Inggeris) Edward-Isaac Dovere. " Biden tells Democratic governors he needs more sleep and plans to stop scheduling events after 8 p.m. " — CNN, 4 Julai 2024
- (Inggeris) Kaitlin Lewis. " White House Gives Medical Update on Joe Biden " — Newsweek, 4 Julai 2024