12 Mei 2024 (Ahad)
Tanah Datar - Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dan 16 lagi hilang selepas banjir kilat dan aliran lahar sejuk yang berpunca daripada salah satu daripada gunung berapi aktif di bahagian barat Indonesia, demikian menurut pegawai bencana tempatan pada Ahad.
Hujan yang berterusan mengakibatkan banjir kilat di dua daerah di Sumatera Barat yang berlaku pada Sabtu lepas dan membawa bersama campuran debu dan batu besar menuruni Gunung Marapi, gunung berapi yang paling aktif pada ketika ini.
"Sehingga kini data kami menunjukkan 34 orang meninggal dunia: 16 di Agam dan 18 lagi di Tanah Datar. Sekurang-kurangnya 18 orang mengalami kecederaan. Kami juga masih mencari 16 orang lagi yang masih hilang," kata jurucakap agensi bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab. Beliau berkata usaha pencarian pada ketika ini melibatkan penduduk tempatan, polis, angkatan tentera dan sukarelawan.
Daerah Agam dan Tanah Datar dilanda banjir kilat dan aliran lahar sejuk lebih kurang jam 10:30 malam waktu tempatan pada Sabtu, demikian menurut agensi mencari dan menyelamat Basarnas. Sebelum itu, Basarnas melaporkan 12 orang telah meninggal dunia termasuklah beberapa orang kanak-kanak.
Di daerah Tanah Datar, beberapa buah masjid dan kolam awam musnah dan terdapat batu-batu besar dan pokok yang tumbang berselerakan di kawasan sekitar, menurut wartawan AFP yang berada di tempat kejadian. Jalan yang menghubungkan bandar Padang dan Bukittinggi dilaporkan rosak teruk serta laluan kenderaan kecil turut terputus. Di sungai berhampiran, dua buah lori dihanyutkan banjir kilat dan arus deras sungai. Manakala gambar-gambar dan video yang dihantar menerusi Facebook menunjukkan batu-batu besar dan lumpur tebal melitupi jalan-jalan di situ.
Di daerah Agam, banyak rumah penduduk dan fasiliti awam telah rosak, menurut ketua agensi bencana daerah Budi Perwira Negara.
Untuk rekod, Indonesia sering kali terdedah kepada tragedi tanah runtuh dan banjir kilat apabila tibanya musim hujan. Pada bulan Mac lalu, sekurang-kurangnya 26 orang didapati telah meninggal dunia selepas kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda bahagian Sumatera Barat. Pada bulan Disember lalu, Gunung Marapi meletus dan memuntahkan lahar abu setinggi 3,000 meter ke langit, lebih tinggi berbanding gunung itu sendiri. Sekurang-kurangnya 24 orang pendaki, hampir keseluruhannya pelajar universiti, meninggal dunia semasa letusan berlaku.
Sumber
edit- (Melayu) "Korban 'banjir lahar' meningkat kepada 34 mangsa" — Berita Harian, 12 Mei 2024
- (Inggeris) "34 dead in floods, cold lava from Indonesia's Mount Marapi; 16 missing" — CNA, 12 Mei 2024
- (Inggeris) "At least 28 dead, several missing in Indonesia flash floods, cold lava flow" — Al Jazeera, 12 Mei 2024
- (Melayu) "34 maut akibat banjir kilat, lahar sejuk dari Gunung Marapi" — Berita MediaCorp, 12 Mei 2024