1 Julai 2024 (Isnin)
Sebuah rumah kenangan yang pernah menjadi saksi kepada kisah kehidupan seorang biduanita Malaysia, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dilaporkan telah dirobohkan. Lokasi rumah agam itu terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Memetik laporan dari HibGlam, kerja-kerja meruntuhkan bangunan itu dilakukan atas permintaan pemilik baharu dipercayai sejak dua bulan lalu. Pemilik baharu itu turut membeli lot tanah bersebelahan lot bekas kediaman Allahyarham.
Menurut pengawal yang bertugas menjaga tapak itu, pihak keselamatan telah ditugaskan menjaga tapak tersebut sejak lot-lot tanah dibeli dipercayai sekitar awal tahun ini. "Saya tahu kediaman ini pernah diduduki seorang penyanyi popular, tapi lepas itu ia telah dibeli oleh sebuah syarikat," kata pengawal keselamatan kepada HibGlam.
Kediaman itu dilengkapi dengan kemudahan seperti sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, lima ruang tamu dan dua dapur. Selain itu, ia turut memuatkan sebuah perpustakaan dan kolam ikan. Difahamkan semasa hayat Allahyarham, beliau banyak mengadakan perjumpaan bersama rakan media serta mengadakan jamuan dan majlis doa selamat yang dihadiri pelajar tahfiz.
Untuk rekod, kediaman itu dilaporkan dijual oleh anak tunggal arwah, Aliff Omar Ali dengan harga RM8 juta. Dia pernah tinggal di situ selepas pemergian ibunya pada 2014 akibat penyakit berkaitan paru-paru.
Sumber
edit- (Melayu) Hanisah Selamat. "Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, hanya tinggal kenangan" — HibGlam, 30 Jun 2024
- (Melayu) Salma Syahbuddin. "Tinggal Kenangan, Banglo Mewah Milik Sharifah Aini Diroboh" — xtra.com.my, 1 Julai 2024
- (Melayu) Nisak. "“Hanya tinggal kenangan” – Banglo Mewah 2 Tingkat Milik Sharifah Aini Dirobohkan" — LobakMerah, 1 Julai 2024