Wn/ms/Akaun OneDrive tanpa lesen yang diarkibkan akan dikenakan caj bermula 2025

< Wn | ms
Wn > ms > Akaun OneDrive tanpa lesen yang diarkibkan akan dikenakan caj bermula 2025

13 Ogos 2024 (Selasa)

Bermula Januari 2025, kesemua akaun OneDrive tidak dilesenkan lebih 90 hari akan diarkibkan secara automatik, demikian pengumuman Microsoft mengenai beberapa perubahan penting berkaitan polisi storan OneDrive untuk penggunaan di peringkat perusahaan.

Microsoft OneDrive.
Imej: Microsoft.

Selepas diarkibkan, pengguna Microsoft OneDrive yang terlibat akan hilang akses terhadap akaun tersebut. Pihak bertanggungjawab seperti pentadbir IT perlu melakukan konfigurasi dengan membenarkan hantaran bil untuk kesemua akaun OneDrive tanpa lesen di bahagian "Microsoft 365 admin center" jika berhasrat untuk mendapatkan kembali data-data yang diarkibkan itu.

"Caj dikenakan sebanyak $0.05/GB/bulan untuk menyimpan akaun tanpa lesen di Microsoft 365 Archive, dan caj sebanyak $0.60/GB dikenakan untuk mengaktifkan kembali akaun yang telah diarkibkan di Microsoft 365 Archive," kata Microsoft menerusi notis paparan di Admin Center. "Pengaktifan kembali akaun mengambil masa sehingga 24 jam dan pengguna dibenarkan akses selama 30 hari sebelum akaun itu kembali ke arkib."

Tambah Microsoft, sekiranya hantaran bil tidak dibenarkan, akaun OneDrive tanpa lesen yang telah diarkibkan akan dihapuskan selepas 180 hari akaun itu kehilangan lesen. Walau bagaimanapun, perubahan polisi itu tidak terpakai untuk pelanggan di sektor pendidikan, kerajaan dan pertahanan.

Mengulas mengenai kewujudan akaun tanpa lesen, Microsoft berkata akaun itu boleh wujud kerana beberapa keadaan. Di antaranya ialah penggunaan polisi penyimpanan untuk menghalang penghapusan akaun tersebut sebelum memasuki tempoh tertentu. Ada juga keadaan di mana pengguna tidak memiliki lesen OneDrive yang sah, namun identiti pengguna itu belum lagi dihapuskan dari Microsoft Entra ID.

Microsoft menyarankan pentadbir IT untuk melihat senarai akaun tanpa lesen dan alasan kenapa ia tidak dilesenkan di Admin Center sebagai persediaan. Paparan itu akan tersedia kepada semua pelanggan komersial di seluruh dunia bermula Jumaat.


Sumber

edit


Kongsikan berita ini