19 Jun 2024 (Rabu)
GAZA - Di kala masyarakat Islam seluruh dunia menyambut Aidiladha sebagai memperingati peristiwa kesanggupan Nabi Ibrahim A.S. mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S. dalam menuruti perintah Allah s.w.t, masyarakat Islam di Palestin khususnya Gaza menyambut perayaan itu dalam suasana suram tatkala banyak rumah penduduk musnah dibedil dengan bom.
Penduduk Palestin di Gaza tidak dapat merayakan perayaan Aidiladha seperti yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya. Pada Selasa iaitu hari pertama Aidiladha, sekurang-kurangnya 13 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel dekat pusat pelarian Nuseirat di bahagian tengah Gaza, menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza.
Pada Sabtu, Pejabat Media Kerajaan di Gaza berkata, Israel telah mengharamkan kemasukan haiwan-haiwan korban ke Gaza menyebabkan penduduk Palestin tidak dapat melakukan ibadat korban sebagai sebahagian daripada perayaan Aidiladha. "Aidiladha tahun ini tidak seperti tahun sebelumnya. Tidak ada daging atau haiwan korban, kami juga tidak mampu menyediakan pakaian kepada anak-anak," kata Ali Hassan, seorang pelarian Palestin kepada media AFP.
Sementara itu, lebih kurang 40,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Aqsa, kurang berbanding 100,000 jemaah yang direkodkan pada 2023 menurut agensi berita Wafa. Kebanyakkannya terpaksa menunaikan solat di sebelah luar masjid selepas tentera Israel melarang kemasukan mereka serta mengenakan peraturan keluar masuk masjid yang ketat.
Menerusi hantaran di X pada Ahad, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres menzahirkan ucapan selamat menyambut Aidiladha sambil menyatakan solidariti kepada masyarakat Islam yang tidak dapat menyambut perayaan itu disebabkan konflik, keganasan dan perpecahan bersama orang tersayang. "Semoga nilai perpaduan dan empati yang diinspirasikan melalui perayaan ini dapat membimbing kita ke arah belas kasihan dan keamanan untuk semua."
Sumber
edit- (Inggeris) " Israel continues to pound Gaza with deadly strikes during Eid " — Daily Sabah, 18 Jun 2024
- (Inggeris) Fatma Khaled, Wafaa Shurafa. " A usually joyous Muslim holiday reminds families in Gaza of war’s punishing toll " — AFP, 18 Jun 2024
- (Inggeris) " Muslims observe Eid al-Adha in the shadow of Israel’s war on Gaza " — Aljazeera, 16 Jun 2024
- (Inggeris) " Palestinians ‘in mourning’ as Muslims mark Eid al-Adha " — Aljazeera, 16 Jun 2024
- (Inggeris) " No joy, festive atmosphere: Jerusalem prepares for Eid al-Adha in shadow of Gaza war " — Anadolu Ajansı, 15 Jun 2024