18 Mei 2024 (Sabtu)
Johor Bahru - Dua orang anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan yang dilakukan oleh seorang lelaki bertopeng yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi semalam. Kejadian itu turut menyebabkan suspek mati akibat ditembak oleh anggota polis yang bertugas.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata dua orang anggota polis dan suspek yang maut itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang cedera telah diberikan rawatan di hospital yang sama. "Siasatan awal mendapati anggota polis telah ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya lagi.
Mengikut kronologi kejadian, serangan itu berlaku pada pukul 2.30 pagi. Sebelum serangan itu berlaku, dua orang pelajar dari institut pengajian tinggi swasta telah hadir ke balai polis yang sama untuk membuat laporan berkaitan kes cabul.
Selepas itu, suspek datang ke balai polis dengan menaiki motosikal dan terus pergi ke bahagian belakang balai. Anggota polis yang menyedari kehadiran suspek kemudian terus ke belakang balai untuk membuat pemeriksaan sebelum ditetak suspek di bahagian leher sebanyak 3 kali sehingga maut.
Dua lagi anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu pergi ke belakang balai bagi melakukan pemeriksaan dan berlaku tembak menembak pada pukul 2.54 pagi di antara anggota polis dan suspek yang merampas senjata api dari anggota polis yang maut tadi. Dalam kejadian tembak menembak itu, seorang lagi anggota polis maut akibat ditembak di bahagian pipi yang menembusi di bahagian kepala. Manakala, seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek.
Anggota polis yang maut dalam kejadian itu ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala seorang anggota yang cedera ialah Koperal Mohd. Hasif Roslan.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek berusia 34 tahun yang maut itu merupakan salah seorang ahli pengikut Jemaah Islamiyah (JI).
Sumber
edit- (Melayu) Mary Victoria Dass. "TERKINI: Dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terbunuh, penyerang mati ditembak" — Berita Harian, 17 Mei 2024
- (Melayu) "Apa yang perlu kita tahu kes serangan Balai Polis Ulu Tiram" — Kosmo!, 17 Mei 2024
- (Melayu) Mohamed Farid Noh, Mary Victoria Dass. "2 pelajar IPT ditahan, kait serangan Balai Polis Ulu Tiram" — Harian Metro, 17 Mei 2024
- (Inggeris) "Two officers killed in suspected JI attack on Malaysian police station" — Al Jazeera, 17 Mei 2024