Wn/ms/Ketua Pengarah Eksekutif AWS meletakkan jawatan

< Wn‎ | ms
Wn > ms > Ketua Pengarah Eksekutif AWS meletakkan jawatan

15 Mei 2024 (Rabu)


Adam Selipsky, Ketua Pengarah Eksekutif Amazon Web Services (AWS) mengumumkan perletakkan jawatan beliau berkuatkuasa bulan hadapan, selepas tiga tahun menerajui kepimpinan AWS. Matt Garman yang pada ketika ini memegang jawatan Naib Presiden Kanan Jualan AWS, Pemasaran dan Perkhidmatan Global di Amazon akan menggantikan Adam sebagai Ketua Pengarah Eksekutif yang baharu bermula 3 Jun.

Ibu Pejabat AWS di Houston, Amerika Syarikat.
Imej: Tony Webster.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Adam atas segala hasil yang dicurahkannya sepanjang beliau memimpin AWS selama tiga tahun," demikian menurut Ketua Pengarah Eksekutif Amazon, Andy Jassy. "Beliau mengambilalih tampuk kepimpinan semasa pandemik, yang memberikan banyak cabaran dari segi kepimpinan dan perniagaan. Di bawah pengurusannya, pasukan beliau membuat keputusan jangka panjang yang betul dalam membantu pelanggan-pelanggan lebih efisien atas perbelanjaan mereka, walaupun ia bermakna kurangnya hasil jangka pendek untuk AWS."

Garman berkata: "Bagi saya, AWS lebih dari sebuah perniagaan. Kami adalah pasukan cekap yang bekerja dengan penuh semangat untuk memastikan kehidupan dan perniagaan pelanggan kami lebih baik setiap hari. Satu keistimewaan untuk bekerja bersama-sama anda semua selama 18 tahun, dan saya berasa rendah hati atas peluang untuk terus berbuat demikian dalam peranan baru yang semakin meluas ini."

Walaupun AWS memiliki bahagian terbesar dalam pasaran pengkomputeran awan di Amerika Syarikat, penguasaan AWS mendapat tekanan dari Microsoft, dengan perkhidmatan awan Azure yang dilengkapi dengan penawaran kecerdasan buatan (AI) hasil kerjasama dengan organisasi OpenAI. Juga, Google bakal mengumumkan perkhidmatan AI baru pada Selasa di persidangan pembangun tahunan mereka.


Sumber edit